SEBANYAK 127,000 kandungan penipuan (scam) dalam pelbagai platform media sosial telah dikesan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Sehubungan itu kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, MCMC telah meminta platform terlibat menurunkan kandungan berkenaan.
‘’Jumlah itu direkodkan bagi tempoh 1 Januari hingga hari ini, merangkumi 53 peratus daripadanya dikesan di Facebook manakala 39 peratus di TikTok.
“Jumlah itu mewakili 27 peratus daripada keseluruhan permohonan kandungan yang diminta untuk diturunkan manakala selebihnya melibatkan platform media sosial yang lain,’’ katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet hari ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata, masalah jenayah scam yang kebanyakannya menggunakan akaun palsu adalah antara yang paling banyak diminta diturunkan oleh pihak MCMC.
“Kita lihat Facebook dan TikTok adalah dua platform di mana paling banyak jenayah scam ini dikesan,” katanya.
Untuk mengelakkan orang terperdaya, Fahmi menasihatkan orang ramai agar membuat semakan pengesahan maklumat menerusi portal Sebenarnya.my dan MyCheck selain mendapatkan maklumat daripada media arus perdana bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan memberi tempoh beberapa bulan kepada platform media sosial yang dikenal pasti untuk memastikan pematuhan terhadap dua kod yang diwujudkan bagi menangani kandungan memudaratkan dan mengancam harta serta nyawa pengguna.
Fahmi berkata kod berkenaan ialah Kod Perlindungan Kanak-Kanak dan Kod Pengurangan Risiko yang berkuat kuasa pada 1 Jun lepas di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866].
“Platform media sosial yang telah dikenal pasti perlu mematuhi kedua-dua kod ini dan kita beri mereka masa dalam beberapa bulan yang akan datang ini untuk pastikan segala tindakan diambil secara terselaras untuk elak daripada kandungan yang memudaratkan, yang boleh mengancam harta ataupun nyawa dalam platform masing-masing untuk tidak dibenarkan lagi,” katanya.
Beliau berkata tindakan itu penting memandangkan proses menurunkan setiap kandungan yang diminta oleh kerajaan memerlukan masa dan sumber.
“Untuk setiap kandungan yang diminta diturunkan, petugas MCMC memerlukan masa 30 ke 45 minit untuk mengisi borang dan menghantar kepada pihak berkenaan… jadi, ia memang memakan masa dan kos yang tinggi untuk pihak kerajaan,” katanya.





