SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang terus memperkasakan usaha pendidikan pencegahan rasuah dalam kalangan generasi muda menerusi Program Wira Anti Rasuah (WAR) melalui Pertandingan Pidato Celik MADANI Peringkat Negeri Pahang Tahun 2026.
Pertandingan yang menghimpunkan seramai 15 peserta itu merupakan hasil kolaborasi strategik antara SPRM Pahang, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Negeri Pahang dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang dalam memperluas pendidikan integriti dan pencegahan rasuah menerusi pendekatan dakwah, pendidikan serta pengucapan awam.

Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud berkata, usaha membanteras rasuah tidak hanya bergantung kepada aspek penguatkuasaan, sebaliknya perlu bermula dengan pendidikan dan pembentukan nilai integriti sejak usia muda.
Beliau berkata, golongan muda mempunyai peranan besar dalam mencorakkan kepimpinan serta masa depan negara dan pertandingan ini memberi ruang kepada para peserta mengetengahkan idea, pandangan dan aspirasi mengenai kepentingan integriti.

“Kerjasama strategik ini akan terus diperkasakan bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang daripada sudut ilmu dan kepimpinan, tetapi turut teguh dengan nilai amanah, integriti serta akauntabiliti, selaras dengan aspirasi membina Malaysia MADANI yang bebas rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pertandingan itu yang diadakan di De Rhu Beach Resort, Balok di Kuantan semalam.
Yang turut hadir, Pengarah Yadim Negeri Pahang, Aizuddin Hakim Mohd Yusof.
Dalam pertandingan itu, sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Kategori Sekolah Kebangsaan (Tahun 4 hingga 6) dimenangi oleh Suci Safya Elbushra Syaifuldin dari Sekolah Kebangsaan Felda Purun; Kategori Sekolah Menengah (Tingkatan 1 hingga 3), diungguli oleh Mukhriz Muzakkir Mohd Nazre dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar, manakala pemenang Kategori Sekolah Menengah (Tingkatan 4 hingga 6) disandang oleh Nur Aisyah Amani Basri dari Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Jengka 4.
Proses penjurian dikendalikan oleh juri berpengalaman diketuai oleh Pegawai Khas Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Teo Wei Sing selaku Ketua Juri dan dibantu oleh Ketua Penolong Pengarah Bahasa JPN Pahang, Mat Ganti Mansor serta pegawai SPRM Pahang, Nor Hidayah Mohd Nor.





