34 kenderaan LOV 4×4 perkasa kesiapsiagaan JBPM Selangor

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor kini memiliki 34 unit Kenderaan Light Utility Vehicle (LOV) 4×4 bagi memperkukuh keupayaan mobiliti dan kesiapsiagaan operasi di seluruh negeri.

Pengarah JBPM Selangor, Dato’ Wan Md Razali Wan Ismail berkata, jumlah itu merangkumi 19 unit yang diterima dalam agihan siri keenam semalam, selain 15 unit yang diterima menerusi Siri Pertama, Kedua dan Ketiga.

Katanya, aset berkenaan akan menyokong operasi di 38 balai bomba dan penyelamat di seluruh Selangor, termasuk pergerakan anggota, pengangkutan peralatan serta pemantauan kawasan.

“Lima daripada keseluruhan kenderaan yang diterima dilengkapi dengan winch penarik serta tombol penarik bot bagi memberikan keupayaan tambahan ketika operasi di kawasan berisiko banjir, laluan berlumpur atau muka bumi yang sukar dilalui kenderaan biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penerimaan aset berkenaan turut bertepatan dengan langkah kesiapsiagaan awal JBPM Selangor dalam menghadapi perubahan cuaca serta peningkatan risiko hujan lebat dan banjir.

Beliau berkata, kenderaan LOV 4×4 akan ditempatkan mengikut keperluan operasi dan profil risiko kawasan bagi membolehkan anggota serta peralatan digerakkan dengan lebih berkesan ketika berlaku kecemasan dan bencana.

“JBPM Selangor mengambil pendekatan ‘bersedia sebelum berlaku’ dengan memastikan aset, kenderaan, anggota dan peralatan operasi berada dalam keadaan siap siaga serta boleh digerakkan dengan segera apabila diperlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Md Razali menegaskan semua kenderaan yang diterima perlu dijaga dan diselenggara dengan baik supaya sentiasa berada dalam keadaan siap operasi.

Beliau turut mengingatkan anggota yang mengendalikan kenderaan berkenaan supaya memandu dengan berhemah, mematuhi peraturan jalan raya serta mengutamakan keselamatan anggota dan pengguna jalan raya.

“Setiap aset yang diterima adalah satu amanah. Ia perlu dijaga, diselenggara dan digunakan dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan apabila berlaku kecemasan, aset tersebut benar-benar berada dalam keadaan terbaik dan boleh digerakkan pada bila-bila masa,” katanya.

Katanya, kesiapsiagaan bukan hanya bergantung kepada jumlah aset, malah merangkumi kecekapan anggota, penyelenggaraan kenderaan, kecukupan peralatan serta keupayaan pasukan bertindak pantas dan teratur.

JBPM Selangor turut memberi penekanan kepada pemeriksaan dan penyelenggaraan peralatan menyelamat, bot, peralatan penyelamatan air, pam, tali, jaket keselamatan serta peralatan sokongan operasi.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan semua peralatan berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan pada bila-bila masa, khususnya ketika berdepan peningkatan panggilan kecemasan akibat cuaca buruk.

Beliau berkata, JBPM Selangor akan terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan melalui pengurusan aset secara sistematik, pemeriksaan berkala, latihan anggota serta penyelarasan operasi antara balai bomba dan penyelamat.

Dalam pada itu, orang ramai diseru supaya sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah keselamatan awal sekiranya berlaku hujan lebat, banjir atau keadaan cuaca yang berisiko.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here