POLIS meminta bantuan orang ramai untuk mengenal pasti identiti mayat seorang wanita yang ditemukan dalam beg pakaian di Sungai Perak berhampiran Jeti Lembah, Kuala Kangsar, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, usaha mengenal pasti mangsa turut dilakukan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak, namun semakan cap ibu jari tidak menemukan sebarang rekod sepadan.
Beliau berkata, pemeriksaan pergigian mendapati mangsa dipercayai berusia lingkungan 30-an, berketinggian 154 sentimeter dan berat kira-kira 48 kilogram.
“Mangsa berkulit sawo matang dan berambut hitam paras bahu.
“Ketika ditemukan, wanita berkenaan memakai baju lengan panjang berbelang putih dan hitam, jeans hitam serta memakai anting-anting. Ciri-ciri fizikal dan pakaian ini diharap dapat membantu orang ramai mengenal pasti mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Heisham berkata, polis turut mengesahkan mangsa bukan warga tempatan berdasarkan ketiadaan kesan suntikan BCG, selain semakan cap ibu jari yang tidak mempunyai rekod sepadan dalam pangkalan data JPN.
Katanya, bedah siasat telah dijalankan oleh pakar patologi forensik Hospital Taiping dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sabtu lalu, polis mengesahkan mayat yang ditemukan dalam beg pakaian di lokasi berkenaan adalah seorang wanita berusia lingkungan 30-an.
Polis menerima panggilan daripada seorang lelaki tempatan pada jam 3.12 petang yang memaklumkan mengenai penemuan terbabit.





