MALAYSIA dijangka turut terkesan sekiranya gangguan terhadap Selat Hormuz berlanjutan kerana laluan strategik itu memainkan peranan penting dalam sektor tenaga global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sebarang gangguan terhadap sektor tenaga akan memberi kesan kepada keseluruhan industri, termasuk Malaysia.
Ia memandangkan Malaysia mempunyai kedudukan yang lebih baik berbanding negara yang tidak mempunyai sumber minyak dan gas.
“Selat Hormuz ini lebih kepada sektor tenaga. Bila sektor tenaga ini terjejas, semua industri akan terjejas. Kita sebenarnya dari segi minyak, kita masih pengimport bersih, tetapi gas kita masih pengeksport bersih.
“Jadi kita akan terjejas seperti mana negara-negara lain terjejaslah. Tetapi tidak seteruk negara yang tidak mempunyai minyak dan juga gas,” katanya kepada media selepas menghadiri Invest Perak Day di Ipoh hari ini, lapor Buletin TV3.
Kenyataan itu dibuat susulan tindakan dan ancaman Amerika Syarikat (AS) berkaitan Selat Hormuz, termasuk dakwaan Presiden AS, Donald Trump, bahawa laluan perairan berkenaan kini berada di bawah kawalan AS.
Trump turut memuat naik peta yang menggambarkan Selat Hormuz sebagai ‘wilayah baharu AS’ selain mendakwa laluan berkenaan terbuka selepas periuk api laut dikeluarkan atau dimusnahkan.
Ketegangan berhubung Selat Hormuz menjadi perhatian dunia kerana laluan itu merupakan antara laluan utama bagi penghantaran minyak dan gas global.
Dalam perkembangan berkaitan, ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, dilaporkan berkata Selat Hormuz tidak akan dibuka sepenuhnya sehingga AS melaksanakan komitmen yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman.





