SEORANG pemancing yang hilang selepas terjatuh di Sungai Pahang dekat Kampung Lebak Seberang, Temerloh kelmarin ditemukan lemas hari ini.
Mayat mangsa, Muhamed Hanifa Mammu, 47, ditemukan jam 7.05 pagi ini oleh anggota bomba dan penyelamat kira-kira 150 meter dari lokasi dia disyaki terjatuh.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga bermula jam 6.50 pagi ini di kawasan mangsa dipercayai terjatuh ditamatkan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Kejadian menimpa mangsa itu dilaporkan jam 11.09 tengah malam, Rabu lalu sebelum anggota bersama jentera dari BBP Bukit Angin, Temerloh ke lokasi untuk operasi SAR.
Operasi SAR hari pertama dibuat melalui pencarian di permukaan air sebelum ia ditangguhkan.
Pencarian mangsa disambung semula semalam dengan selaman pertama dibuat anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) BBP Bukit Angin jam 9.24 pagi pada kedalaman 2.5 meter.
Operasi pencarian dibantu pasukan bantuan dari BBP Temerloh.





