BAPA kepada vokalis kumpulan popular era 1990-an, Allahyarham Along Spoon iaitu Shafiee Mohd Yusof, meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Cheras, petang semalam.
Pemergian Shafiee yang lebih dikenali sebagai Pak Engku itu disahkan oleh anak saudaranya yang juga sepupu arwah Along, Romy Hirman.
Romy, 52, memberitahu, Allahyarham Pak Engku, 76, yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Alam, Sungai Besi sudah lama menghidap komplikasi pelbagai penyakit antaranya kencing manis, buah pinggang dan jantung.
“Arwah memang sering keluar masuk hospital akibat penyakitnya. Dia kembali dimasukkan ke hospital, baru-baru ini sehinggalah menghembuskan nafas terakhir jam 2.20 petang semalam.
“Jenazah akan dibawa ke surau PPR Seri Alam hari ini untuk dimandi dan dikafankan serta ditempatkan seketika untuk sanak-saudara dan kenalan berikan penghormatan terakhir.
“Selepas itu jenazah akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara untuk urusan pengebumian pagi ini. Mulanya kami bercadang nak kebumikan malam tadi tapi tak sempat kerana perlu lalui pelbagai proses,” katanya kepada Harian Metro.
Romy berkata, hubungannya dengan arwah bapa saudaranya rapat kerana kediaman mereka berdekatan.
“Memang saya tahu dia sakit. Saya pula memang rapat dengan arwah Along kerana kami pernah main muzik sama-sama. Saya juga pernah terbabit secara langsung dengan Spoon sebagai penulis lirik.
“Saya tulis lirik untuk lagu Sepenuh Hati, Ringgit Berjuta dan Tenangkan Jiwa. Saya terbabit dalam ketiga-tiga album mereka,” katanya.
Allahyarham Pak Engku mempunyai lima anak iaitu tiga lelaki termasuk Allahyarham Along atau nama sebenarnya, Sabi’ul Malik Shafie dan dua perempuan.
Pada 25 Jun 2024, Pak Engku mengakui sudah memaafkan individu disabitkan dengan kesalahan membunuh anaknya pada 26 Disember 1999 iaitu Mohamed Ya’cob Demyati yang juga bekas anggota polis.
Pak Engku turut dipetik berkata, dia juga merelakan pemergian anaknya selepas hampir 25 tahun meninggal dunia biarpun pada awal sukar menerima kenyataan sekali gus menganggap ini semua adalah ketentuan Allah.
Allahyarham Along yang popular dengan lagu Rindu Serindu Rindunya pada usia 19 tahun dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999.
Polis kemudian menemukan rangka manusia diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang pada 6 Januari 2000.
Pada 16 November 2023, Mohamed Ya’cob yang disabitkan dengan kesalahan membunuh Along dibebaskan dari Penjara Kajang selepas selesai menjalani hukuman penjara selama 33 tahun.
Mahkamah Persekutuan dilapor meminda hukuman daripada penjara sepanjang hayat kepada penjara 33 tahun ke atas Mohamed Ya’cob.
Pindaan hukuman berkuat kuasa mulai tarikh tangkapan tertuduh, iaitu pada 4 Januari 2000.





