SEORANG anggota polis cedera ketika bergelut dengan lelaki dipercayai pengedar dadah yang menggunakan parang untuk menghalang polis daripada ditahan dalam serbuan di Kampung Lubuk Bongor di Jeli, kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli menjalankan serbuan di sebuah rumah tanpa nombor di kampung berkenaan.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, ketika serbuan, suspek bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah parang yang diselitkan di pinggang sebelum mengacukannya ke arah anggota polis sambil mengeluarkan kata-kata ugutan untuk menyebabkan kematian.
“Anggota polis kemudian berusaha menahan lelaki itu namun berlaku pergelutan antara suspek dengan polis menyebabkan salah seorang anggota cedera pada jari tengah tangan kiri serta bahu kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek bagaimanapun berjaya ditangkap dan polis turut merampas sebilah parang berukuran kira-kira 36 sentimeter.
“Turut ditemukan satu plastik lutsinar mengandungi enam biji pil berwarna kemerahan yang disyaki dadah jenis pil kuda dalam sebuah beg pinggang berwarna hitam,” katanya.
Kamarulzaman berkata, siasatan awal mendapati suspek merupakan individu yang dikehendaki Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Jeli kerana disyaki aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah berkenaan.
“Suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tata Cara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, tambah beliau.





