Dua penunggang basikal maut dirempuh bakal sertai dua acara tidak lama lagi – Isteri mangsa

DUA penunggang basikal yang maut dirempuh sebuah kereta di Kilometer 9.0 Jalan Persiaran Selatan di Putrajaya malam tadi sepatutnya keluar berbasikal bersama ramai penunggang lain, namun ada yang tidak dapat menyertainya kerana ada urusan lain.

Isteri salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Shaqira berkata, disebabkan itu hanya arwah suaminya, Allahyarham Syazwan Zharif Abdul Karim, 30, dan seorang rakannya, Allahyarham Mohd Hilmi Tahar, 48, keluar sebelum terlibat dalam nahas itu.

“Sepatutnya ramai yang menyertai suami berbasikal tapi ada yang tidak dapat ikut jadi mereka kayuh berdua sahaja,” kata Shaqira, 30, ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya hari ini, lapor Harian Metro.

Media hari ini melaporkan, dua penunggang basikal lelaki maut akibat dilanggar sebuah kereta di Kilometer 9.0 Jalan Persiaran Selatan di Putrajaya malam tadi.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an itu mengubah haluan dari lorong tengah ke lorong kiri, sebelum melanggar kedua-dua mangsa dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam.

Menurut Shaqira, arwah suaminya dan Allahyarham Mohd Hilmi adalah rakan sekerja serta selalu berbasikal bersama.

“Arwah selalu berbasikal dengan rakannya itu (Mohd Hilmi) dan pada hari kejadian sepatutnya ramai (rakan lain) tetapi ada yang tidak boleh (sertai) jadi mereka berdua saja (berbasikal semalam).

“Kali terakhir saya jumpa saya pada 8.30 malam (sebelum suami keluar untuk berbasikal),” katanya.

Menurutnya lagi, suaminya yang minat berbasikal keluar malam tadi sebagai persediaan untuk menyertai acara Powerman Malaysia dan Lekas Ride 2026.

Dalam pada itu, Shaqira berkata, dia menyerahkan siasatan kes kemalangan menimpa suaminya itu kepada pihak polis.

Jenazah Syazwan Zharif akan dibawa pulang untuk dikebumikan di Kuching, Sarawak dengan urusan membawa pulang jenazah dibantu Rumah Anak Sarawak melalui penerbangan pada jam 6.25 petang ini.

“Fokus saya sekarang menguruskan jenazah suami dan semua siasatan diserahkan sepenuhnya kepada polis.

Terdahulu, jenazah Syazwan Zharif dituntut waris pada 2.08 petang tadi selepas selesai proses bedah siasat.

Sementara itu, Aidi Sham memaklumkan, polis sudah merakam keterangan pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan itu.

Menurut beliau, lelaki berusia lingkungan 40-an itu bagaimanapun tidak ditahan selepas membuat laporan mengenai kejadian berkenaan.

“Pemandu kereta tidak ditahan, dia sudah membuat laporan polis dan sudah diambil keterangan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here