PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi berkesempatan berbicara dengan Setiausaha Agung Majlis Hukama Muslimin (Muslim Council of Elders), Mohamed Abdelsalam yang bertanyakan khabar serta menitipkan doa susulan keadaan kesihatan beliau baru-baru ini.
Dalam perbualan itu, Anwar turut bertanyakan keadaan kesihatan isteri Mohamed Abdelsalam yang kini menerima rawatan di hospital, selain mendoakan agar beliau dikurniakan kesembuhan dan keafiatan segera.
Menurut Perdana Menteri, perbincangan mereka kemudiannya menyentuh hasrat Sheikh al-Azhar al-Sharif, Prof Dr Ahmad al-Tayyeb untuk kembali mengunjungi Malaysia, di samping beberapa ikhtiar baharu bagi memperkukuh hubungan Malaysia dengan al-Azhar serta menyuburkan gagasan Islam yang sederhana, bebas dan berwibawa.
“Saya amat menghargai persahabatan, dukungan dan kepercayaan yang dizahirkan Mohamed Abdelsalam serta Sheikh al-Azhar al-Sharif,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap Mohamed Abdelsalam atas penghargaan yang diberikan kepada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai sosok wanita teladan atas keteguhan, kesetiaan dan pengorbanannya sepanjang mendampingi perjuangan beliau.
Beliau berkata, segala ikhtiar dan kerjasama berkenaan akan terus diperkukuh demi kemaslahatan umat dan kesejahteraan sejagat.
Hubungan Anwar dengan Mohamed Abdelsalam turut berkait rapat dengan usaha memperkukuh hubungan Malaysia dengan al-Azhar serta agenda mempromosikan nilai kesederhanaan, dialog dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.
Mohamed Abdelsalam merupakan Setiausaha Agung Majlis Hukama Muslimin dan pernah berkhidmat selama lapan tahun sebagai penasihat kepada Sheikh al-Azhar, Prof Dr Ahmad al-Tayyeb. Beliau juga terlibat dalam usaha dialog antara agama serta merupakan antara tokoh penting dalam proses penyediaan Document on Human Fraternity yang ditandatangani Sheikh al-Azhar dan Pope Francis pada 2019.
Pertemuan antara kepimpinan Malaysia dan Mohamed Abdelsalam turut memberi tumpuan kepada pentadbiran hal ehwal Islam serta kerjasama antara Malaysia dan Mesir. Pada Oktober 2024, beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang membincangkan pelbagai perkara berkaitan pentadbiran Islam dari perspektif kedua-dua negara.
Hubungan tersebut juga berlangsung dalam konteks hubungan lebih luas antara Anwar dan Sheikh al-Azhar. Pada Julai 2024, Sheikh al-Azhar melakukan lawatan khas ke Malaysia atas undangan Anwar, dengan agenda meningkatkan kerjasama Malaysia-Mesir khususnya dalam bidang hal ehwal Islam dan pendidikan.
Dalam pertemuan Anwar dengan Sheikh al-Azhar di Kaherah pada November 2024, kedua-duanya turut membincangkan pengukuhan kerjasama Malaysia-al-Azhar. Antara perkembangan yang diketengahkan ialah cadangan penubuhan pusat pendidikan bahasa Arab al-Azhar di Kuala Lumpur serta pejabat serantau Majlis Hukama Muslimin di Malaysia bagi menyokong kerjasama dengan negara-negara Asia Tenggara.
Perkembangan itu memperlihatkan hubungan yang semakin rapat antara Malaysia, al-Azhar dan Majlis Hukama Muslimin dalam usaha memperkukuh pendidikan Islam, pertukaran ilmu serta pendekatan Islam yang menekankan kesederhanaan, toleransi dan kewujudan bersama secara aman.
Anwar berkata, usaha berkenaan diharap dapat diteruskan bagi memastikan kerjasama antara Malaysia dengan institusi dan tokoh keilmuan Islam terus memberi manfaat kepada umat serta menyumbang kepada kesejahteraan sejagat.





