DATUK Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan daripada Sheikh al-Azhar al-Sharif, Prof Dr Ahmad al-Tayyeb yang bertanyakan khabar mengenai keadaan kesihatannya serta menitipkan doa agar beliau segera dikurniakan kesembuhan dan keafiatan.
Perdana Menteri berkata, beliau amat menghargai doa dan ingatan Sheikh al-Azhar itu, selain memaklumkan bahawa pembedahan yang dijalaninya berlangsung dengan lancar manakala proses pemulihan turut berjalan dengan amat baik, alhamdulillah.
Dalam perbualan itu, kedua-dua tokoh berkenaan turut membincangkan kesinambungan usaha dakwah dan pengajian dalam memperluas kefahaman mengenai Islam.
“Pandangan serta bimbingan beliau akan terus menjadi pedoman penting dalam mengangkat tradisi keilmuan Islam yang luhur dan membawa rahmat kepada seluruh umat,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.
Perdana Menteri turut menyingkap kembali kunjungan Sheikh al-Azhar ke Malaysia yang disifatkannya meninggalkan kesan amat mendalam kepada umat Islam di negara ini.
Anwar berkata, beliau berharap dapat kembali bertemu Sheikh al-Azhar di Kaherah atau Kuala Lumpur bagi meneruskan usaha dakwah dan pengembangan ilmu demi kemaslahatan umat sejagat.
Hubungan antara Anwar dan Prof. Dr. Ahmad al-Tayyeb turut berkembang melalui beberapa pertemuan serta kerjasama yang memberi tumpuan kepada pendidikan Islam, dakwah dan pengajian tinggi.
Pada Oktober 2023, Anwar mengadakan kunjungan hormat ke atas Sheikh al-Azhar di Kaherah ketika lawatan kerja ke Mesir. Pertemuan itu antara lain membincangkan hal ehwal agama, pendidikan serta kebajikan pelajar Malaysia di Universiti al-Azhar.
Dalam pertemuan sama, Anwar turut mengemukakan isu 60 pelajar dari Pahang yang berdepan masalah untuk meneruskan pengajian di Mesir, yang kemudiannya dipersetujui untuk diselesaikan pihak al-Azhar.
Pertemuan itu juga membuka ruang kepada perancangan kunjungan Sheikh al-Azhar ke Malaysia, selain cadangan mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan al-Azhar dalam bidang keilmuan serta hal ehwal Islam.
Hubungan tersebut kemudiannya diteruskan menerusi lawatan khas Sheikh al-Azhar ke Malaysia pada 2 hingga 5 Julai 2024 atas undangan Anwar. Lawatan itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kerjasama Malaysia-Mesir, khususnya dalam bidang hal ehwal Islam dan pendidikan.
Sepanjang lawatan berkenaan, Sheikh al-Azhar turut menyampaikan syarahan pada Majlis Ilmu MADANI: Distinguished Speaker Series di Seri Perdana dan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Anwar sebelum ini menyifatkan kunjungan Sheikh al-Azhar ke Malaysia sebagai satu penghormatan besar kepada negara, sambil menekankan kepentingan memanfaatkan pandangan dan gagasan tokoh itu dalam memperkukuh kefahaman Islam serta memastikan umat Islam tidak ketinggalan dalam perkembangan ilmu dan teknologi.





