SEBUAH kenderaan pacuan empat roda terbabas dan melanggar motosikal sebelum merempuh sebuah rumah di Jalan Kampung Kerinting di Gua Musang petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.55 petang itu, penunggang motosikal berusia 53 tahun cedera di kaki kiri dan dirawat di Hospital Gua Musang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kenderaan jenis Ford Ranger berwarna hitam itu dipandu lelaki berusia 34 tahun yang ketika itu dalam perjalanan dari arah Cameron Highlands ke Kota Bharu.
Menurut beliau, ketika sampai di lokasi, kenderaan itu dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar penunggang motosikal yang sedang berhenti di bahu kiri jalan.
“Akibat pelanggaran itu, pacuan empat roda terbabit terbabas lalu merempuh sebuah rumah di kiri jalan.
“Penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan di kaki kiri dan masih menerima rawatan di Hospital Gua Musang,” katanya, lapor BH.





