MPV terbabas dalam gaung: Guru wanita, anak lelaki maut

SEORANG guru wanita dan anak lelakinya maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas di Kilometer 149, Jalan Kuantan-Seremban, di Kampung Bukit Serok, Muadzam Shah dekat Rompin malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, Kartinie Ngatenan, 46, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Hj Mohd Said (SHAMS) di Seremban dan anaknya, Muhammad Akif Mohd Azmi, 6, tersepit dalam kenderaan dinaiki mereka dan meninggal dunia maut di tempat kejadian.

Suami guru itu, Mohd Azmi Mohahir, 47, yang merupakan pemandu MPV tersebut cedera parah dan kini dirawat di Hospital Muadzam Shah, Rompin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, ketika kejadian kenderaan dinaiki tiga sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Seremban ke Felda Keratong 1 di Muadzam Shah.

“Siasatan awal mendapati MPV terbabit dipercayai terlanggar kayu di atas jalan dan menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas ke gaung di kanan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharif Shai berkata, kes ini disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 9.56 malam.

Menurutnya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah bergegas ke lokasi sejurus mendapat laporan itu dan tiba di tempat kemalangan jam 10.35 malam.

“Ketika tiba di lokasi didapati guru terbabit tersepit di tempat duduk penumpang depan MPV berkenaan dan anaknya di tempat duduk penumpang belakang.

“Bomba terpaksa memotong MPV itu dengan menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mayat dua beranak terbabit,” katanya.

Mayat dua beranak berkenaan dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here