POLIS telah merakam keterangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung salah satu artikel diterbitkan di bawah kolum `Minda Presiden Pas’ baru-baru ini.
Perkara itu disahkan Setiausaha Politiknya, Mohd Syahir Sulaiman yang memaklumkan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sudah memberikan kenyataannya di Kuala Lumpur minggu lalu.
Mohd Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas berkata, polis melancarkan siasatan terhadap Abdul Hadi susulan laporan yang dibuat oleh penyokong DAP.
“Beberapa laporan telah dibuat oleh penyokong DAP terhadap salah satu artikel Abdul Hadi.
“Beliau telah memberikan kenyataan di Kuala Lumpur pada minggu lalu. Beliau juga memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan polis.
“Beliau juga bersedia untuk menjawab di mahkamah sekiranya terdapat alasan untuk mendakwanya,” kata Mohd Syahir, lapor NST.
Mohd Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus artikel yang dimaksudkan, namun dipercayai ia salah satu tulisan Hadi yang diterbitkan di bawah kolum ‘Minda Presiden Pas’.





