Anwar dianugerahkan darjah kebesaran tertinggi Brunei

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dikurniakan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Dihormati (DK) daripada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Anugerah membawa gelaran Dato Laila Utama itu dianugerahkan kepada kerabat terdekat, ketua negara, ketua kerajaan atau pembesar luar negara.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Penganugerahan itu sebagai penghormatan hubungan dua hala kepada pembesar negeri atau tokoh yang memegang jasa bakti amat besar kepada sultan dan negara.

Istiadat penganugerahan darjah itu yang berlangsung di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan disaksikan tiga putera Sultan Brunei iaitu Pengiran Muda Mahkota, Al-Muhtadee Billah; Pengiran Muda Abdul Malik dan Pengiran Muda Abdul Mateen.

Yang turut hadir pada istiadat yang berlangsung di Cheradi Ratna Kenchana, Istana Nurul Iman itu ialah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pemimpin Malaysia lain yang pernah menerima anugerah sama ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud.

Anwar yang tiba di Bandar Seri Begawan petang semalam mengadakan lawatan kerja dua hari ke Brunei bagi menghadiri Mesyuarat Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 (ALC-27) bersama Sultan Brunei di Istana Nurul Iman.

Beliau kemudian mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Brunei bagi membincangkan beberapa isu termasuk jerebu rentas sempadan, sempadan darat dan laut, sektor tenaga serta kemudahan laluan penduduk Brunei ke Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri dan Sultan Brunei juga menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pengurusan Bencana yang akan ditandatangani menteri berkaitan kedua-dua negara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here