SEORANG penumpang warga Indonesia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas ketika cuba menyeludup masuk 45 unit tanduk haiwan liar ke negara ini kelmarin.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) LTAPP, Zuhair Jamaludin berkata, suspek lelaki berusia 57 tahun itu menaiki penerbangan China Southern dari Guangzhou, China sebelum ditahan pihak berkuasa di lapangan terbang.
“Penahanan itu dibuat berdasarkan pemeriksaan bagasi membabitkan seorang penumpang warga Indonesia yang menaiki penerbangan China Southern dari Guangzhou dan membawa barangan disyaki hidupan liar tanpa kebenaran.
“Membawa barangan berkenaan tanpa kebenaran atau dokumen sah adalah kesalahan di bawah Seksyen 68(1)(b) Akta 716,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zuhair berkata, kesemua 45 unit tanduk haiwan liar yang dianggarkan bernilai RM5,000 itu disita sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, AKPS akan terus menjalankan penguatkuasaan secara berterusan selain mengukuhkan kerjasama antara semua agensi bagi membanteras jenayah rentas sempadan di pintu masuk antarabangsa.





