SEORANG wanita maut akibat ditimpa tiang besi yang dilanggar sebuah kereta terbabas ke ruang makan sebuah medan selera di Bandar Mahkota Cheras di Kajang awal pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1.15 pagi ketika seorang lelaki berusia 35 tahun dipercayai tersilap menekan pedal minyak menyebabkan kereta dipandunya merempuh kawasan makan di medan selera berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pemandu itu kemudian membelokkan kenderaan itu ke arah jalan keluar.
“Mangsa dipercayai berlari ke arah kenderaan terbabit dalam usaha untuk memberhentikannya.
“Bagaimanapun, kereta itu melanggar tiang besi menyebabkan tiang berkenaan tumbang dan terkena kepala mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wanita itu seorang rakyat tempatan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan akibat kecederaan parah di kepala, katanya.
Beliau berkata, pemandu kereta itu turut cedera dan dibawa ke hospital untuk rawatan.
Naazron berkata, semakan polis mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Jika sabit kesalahan, katanya, pesalah boleh dipenjara antara lima hingga 10 tahun, denda maksimum RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-456 5502.
Naazron turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mengamalkan pemanduan selamat dan mematuhi peraturan lalu lintas.





