PENGARAH Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari akan bertemu Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan kemungkinan kerjasama antara gabungan itu dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, beliau dijangka bertemu Anwar esok untuk membincangkan perkara berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, belum ada pertemuan diadakan dengan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh namun menjangkakan rundingan akan bergerak selepas perbincangannya dengan Perdana Menteri.
“Esok saya ada pertemuan dengan Datuk Seri Anwar untuk melihat perkara ini. Jika ada keperluan, saya akan laksanakan dalam masa terdekat.
“Saya cadangkan dalam tempoh satu atau dua minggu kerana kita masih mempunyai masa yang mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Cinta Masjid di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak, Kuala Lumpur hari ini.
Perdana Menteri pada Khamis lalu dilaporkan berkata, jawatankuasa pilihan raya PH akan membincangkan potensi kerjasama dengan BN bagi PRN Melaka.
Menurut Anwar, jawatankuasa itu yang dipimpin Amirudin dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin sebelum ini tidak menolak kemungkinan untuk bertemu Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka bagi membincangkan kerjasama menjelang pilihan raya negeri berkenaan.
Saifuddin dilaporkan berkata, pertemuan itu boleh diadakan selepas Ab Rauf pulang daripada lawatan kerja ke New Zealand.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memaklumkan, gabungan itu masih terbuka kepada rundingan mengenai pembahagian kerusi bagi PRN Melaka, termasuk pertukaran kerusi, dengan syarat rundingan dilakukan secara jujur dan berlandaskan niat baik.
Amirudin dalam pada itu berkata, tumpuan ketika ini masih kepada sambutan Hari Kebangsaan dan sebarang perbincangan rasmi tidak dijangka diadakan sebelum sambutan itu berakhir pada 31 Ogos.
“Paling awal adalah selepas sambutan Hari Kebangsaan, jika ada keperluan untuk mengadakan pertemuan atau perbincangan sedemikian,” katanya.
Amirudin memberitahu, beliau bertindak atas arahan Anwar dan akan memaklumkan kepada media sekiranya terdapat sebarang keputusan penting yang dicapai.





