Bantuan Baucar Kita Selangor RM100 sebulan utamakan golongan sasar

PEMBERIAN bantuan Baucar Kita Selangor berjumlah RM100 setiap bulan selama enam bulan memberi keutamaan kepada keluarga miskin, individu hilang kerja, golongan rentan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta ibu tunggal.

Bahagian Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor dalam kenyataan berkata, kerajaan negeri pada masa ini masih belum membuka permohonan Program Baucar Kita Selangor kepada umum.

Sebaliknya, program bantuan ini akan dilaksanakan secara bersasar kepada kumpulan penerima yang sudah dikenal pasti berdasarkan data dan senarai yang dibekalkan oleh agensi-agensi berkaitan.

“Antara kumpulan yang terlibat adalah isi rumah miskin dalam pangkalan data eKasih, pekerja yang diberhentikan kerja, golongan rentan yang berdaftar dengan JKM serta ibu tunggal yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

“Penerima yang layak akan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) secara berperingkat bermula 23 Jun ini bagi membolehkan mereka membuat pengesahan maklumat dan mengemukakan permohonan melalui Portal Baucar Kita Selangor berserta dokumen sokongan yang diperlukan.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menunggu pengumuman rasmi Kerajaan Negeri yang akan dibuat pada 22 Jun ini sebelum membuat sebarang tindakan berkaitan program ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Bahagian Korporat SUK Selangor itu, kerajaan negeri juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang sistem pesanan ringkas (SMS) atau mesej yang mengandungi pautan mencurigakan.

“Orang ramai juga diingatkan agar tidak menekan pautan yang diterima daripada sumber yang tidak sah bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan dalam talian.

“Sebarang maklumat lanjut mengenai Program Baucar Kita Selangor akan diumumkan melalui saluran rasmi kerajaan negeri Selangor dari semasa ke semasa,” katanya.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan sejumlah 50,000 keluarga kurang berkemampuan di negeri ini bakal menerima bantuan bulanan RM100 selama enam bulan bermula 30 Jun ini di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 yang diumumkan 19 April lalu.

Amirudin berkata, bantuan Baucar Kita Selangor bertujuan menampan kesan kos sara hidup dan inflasi susulan ketidaktentuan ekonomi global.

Katanya, pemilihan penerima dibuat menerusi semakan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) serta beberapa pangkalan data sedia ada seperti Inisiatif Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), eKasih dan sebagainya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img