Rompakan kedai emas di Kuantan semalam hanya berdurasi lima minit – Polis

POLIS mengesahkan rompakan membabitkan kerugian barang kemas bernilai RM500,000 di sebuah kedai emas di Taman Pandan Damai di Kuantan semalam yang dilakukan empat lelaki bersenjata hanya mengambil masa kira-kira lima minit.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, suspek bertopeng itu dipercayai datang dan melarikan diri menggunakan dua motosikal tanpa nombor pendaftaran sebagai taktik untuk mengelak daripada dikenal pasti.

“Ketika kejadian, tiada pelanggan di dalam kedai kecuali isteri pemilik dan dua pekerja wanita. Suspek berada di dalam premis kira-kira lima minit sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Ashari berkata, polis masih meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berhampiran dan rakaman kamera papan pemuka bagi menentukan sama ada suspek meninggalkan motosikal mereka selepas kejadian sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan lain.

Media semalam melaporkan, empat lelaki bersenjatakan parang dan dipercayai senjata api jenis pump gun melarikan barang kemas bernilai RM500,000 dari kedai emas itu kira-kira jam 2 petang.

Keempat-empat suspek memasuki lot kedai berkenaan, manakala motosikal mereka ditinggalkan di luar premis.

Premis itu tidak mempunyai pengawal keselamatan ketika kejadian dan masih belum dapat dipastikan sama ada penggera keselamatan diaktifkan.

Difahamkan, polis sedang mengenal pasti laluan yang digunakan suspek kerana mereka mungkin tidak bergerak jauh menggunakan motosikal berkenaan, selain menyiasat kemungkinan pembabitan rakan sejenayah lain.

Kejadian semalam adalah rompakan bersenjata kedua dilaporkan di Pahang minggu ini selepas tiga lelaki melarikan barang kemas bernilai RM1.7 juta dari sebuah premis di Genting Highlands, Bentong pada 17 Ogos lalu.

Suspek dalam kes itu masih bebas.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here