Brunei, Sabah, Sarawak perkasa kerjasama ekonomi dan kesalinghubungan Borneo

BRUNEI, Sabah dan Sarawak memperkukuh integrasi ekonomi dan fizikal di seluruh Borneo dengan kerjasama membabitkan aspek kesalinghubungan, tenaga, pelancongan, sekuriti makanan dan perdagangan rentas sempadan.

Usaha itu diketengahkan pada Mesyuarat Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 (ALC-27) antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah hari ini.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin menyatakan kepuasan terhadap kemajuan berterusan kerjasama ekonomi antara Brunei dengan Sabah dan Sarawak, selain menegaskan komitmen untuk melaksanakan inisiatif praktikal yang memberi manfaat langsung kepada kedua-dua pihak.

“Mereka turut mengalu-alukan usaha meningkatkan kesalinghubungan rentas sempadan, termasuk pembangunan Lebuhraya Trans Borneo, Lebuhraya Pesisir Utara dan beberapa projek jalan raya yang menghubungkan komuniti di utara Sarawak.

“Projek itu termasuk jalan menghubungkan Miri-Marudi, Marudi-Mulu (Kuala Melinau) dan Long Panai-Long Lama, yang menurut kedua-dua pemimpin mampu memudahkan pergerakan barangan dan rakyat, menyokong sektor pelancongan serta menjana aktiviti ekonomi lebih meluas di seluruh Borneo,” menurut kenyataan itu, lapor Buletin TV3.

Kedua-dua pemimpin turut menggalakkan agensi berkaitan meneroka kebolehlaksanaan ‘satu pusat pemeriksaan’ bagi menyelaraskan prosedur imigresen dan mengurangkan keperluan pengesahan pasport berulang, sekali gus memudahkan pergerakan rentas sempadan.

Dalam sektor tenaga, kedua-dua pemimpin mengalu-alukan kemajuan susulan perjanjian antara Brunei dan Sarawak yang dicapai pada September tahun lalu, membabitkan aktiviti minyak dan gas, elektrik, peralihan tenaga serta bidang kepentingan bersama lain.

Antara inisiatif diketengahkan ialah usaha berterusan merealisasikan projek penyambungan rangkaian elektrik Brunei-Sarawak sebagai sebahagian daripada Grid Kuasa ASEAN.

Mereka turut mengambil maklum kerjasama sedia ada dalam sektor gas petroleum cecair (LPG), selain pertukaran lawatan dan penganjuran bengkel teknikal.

“Kedua-dua pemimpin mengalu-alukan kerjasama berterusan dalam pelancongan, termasuk menerusi Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei serta usaha bersama mempromosikan Brunei dan Sarawak sebagai pintu masuk ke Borneo.

“Mereka turut mengalu-alukan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Royal Brunei Airlines dan Lembaga Pelancongan Sarawak pada Mei lalu bagi meningkatkan kesalinghubungan serta mempromosikan kedua-dua destinasi secara bersama,” katanya.

Kedua-dua pihak menggalakkan lebih banyak inisiatif pelancongan bersama membabitkan Brunei, Sabah dan Sarawak, khususnya menjelang Tahun Melawat Brunei 2027.

Dalam aspek sekuriti makanan, kedua-dua pemimpin mengalu-alukan rundingan berterusan mengenai penanaman padi secara komersial di Sarawak yang disifatkan mampu memperkukuh kerjasama pertanian, menyumbang kepada sekuriti makanan dan mewujudkan peluang ekonomi baharu.

Mereka turut menekankan kepentingan memperkukuh rantaian bekalan dan memastikan akses pasaran menerusi peningkatan kesalinghubungan serta pelaburan secara bersama.

“Perjanjian sektor swasta terbaru membabitkan logistik, perkhidmatan digital dan produk makanan turut dialu-alukan, dengan kedua-dua pihak digalak meningkatkan kerjasama antara Brunei dan Sabah.

“Pemimpin turut menantikan Jawatankuasa Bersama Brunei-Sarawak menjadi platform untuk menilai kemajuan, memudah cara inisiatif yang dipersetujui dan memberikan hala tuju strategik bagi kerjasama pada masa depan,” katanya.

Kedua-dua pemimpin turut mengambil maklum pertukaran perniagaan yang difasilitasi Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei pada Februari dan Julai lalu, selain menyokong usaha memperluas hubungan perniagaan serta peluang pelaburan antara Brunei dan Sarawak.

Usaha memperkukuh kerjasama Borneo itu hadir ketika Brunei, Sabah dan Sarawak berusaha meningkatkan kesalinghubungan serantau serta hubungan ekonomi dengan memanfaatkan kedudukan geografi yang berdekatan.

ALC-27 adalah mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei yang menyediakan ruang bagi kedua-dua pihak menilai kerjasama serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here