DATUK Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada negara Brunei Darussalam atas sambutan mesra dan layanan baik yang diberikan kepada beliau serta seluruh delegasi Malaysia sepanjang lawatan kerja ke negara itu.
Perdana Menteri berkata, penghargaan itu disampaikan selepas beliau diraikan dalam Majlis Santapan Rasmi yang dihoskan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

“Saya merakamkan penghargaan setulusnya buat Negara Brunei Darussalam atas sambutan mesra dan layanan baik kepada saya serta seluruh delegasi Malaysia sepanjang keberadaan singkat kami ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut mendoakan agar Brunei Darussalam terus menikmati kemakmuran dan kesejahteraan, manakala rakyatnya hidup aman di bawah naungan Sultan Hassanal Bolkiah.
Kunjungan Anwar ke Brunei sejak semalam adalah bagi menghadiri Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei ke-27 (ALC-27), mekanisme tertinggi hubungan dua hala kedua-dua negara.
Dalam rundingan itu, Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah menilai perkembangan hubungan serta kerjasama dua hala, selain bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Hubungan Malaysia-Brunei yang terjalin sejak 1984 turut disifatkan sebagai hubungan yang rapat dan istimewa, dengan kedua-dua negara terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang.
Kunjungan kali ini juga menyaksikan perkembangan dalam beberapa isu kepentingan bersama, termasuk rundingan persempadanan darat dan maritim serta usaha memudahkan pergerakan rakyat antara kedua-dua negara.





