Anggota APM pitam dipatuk ular ketika adakan demonstrasi

SEORANG anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) selepas pitam akibat dipatuk ular ketika melakukan demonstrasi pengendalian reptilia itu di Dewan Taman Temerloh Jaya, di Temerloh hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu, Sarjan (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin, 39, dipatuk pada bahagian kuku jari tengah tangan kanan ketika menjalankan demonstrasi berkenaan.

Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, APM Daerah Temerloh dijemput menyertai Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat dengan mengadakan demonstrasi pengendalian ular kepada peserta.

Menurutnya, ketika demonstrasi berlangsung, anggota berkenaan dipatuk ular pada jarinya sebelum bertindak keluar dari dewan untuk mencuci tangan.

“Selepas mencuci tangan, anggota terbabit kemudian tiba-tiba pitam di luar dewan.

“Dia kemudiannya dihantar ke Bahagian Kecemasan HoSHAS Temerloh untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Che Adam berkata, setakat jam 1 petang ini, anggota terbabit masih menerima rawatan dan berada di bawah pemantauan doktor di Zon Merah HoSHAS.

Laporan awal kejadian itu disediakan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Temerloh, Kapten (PA) Mohamad Irwan Mohamad.

Keadaan kesihatan anggota berkenaan terus dipantau oleh pihak hospital dan APM sementara menunggu perkembangan lanjut, katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here