MENTERI Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mempersoalkan tindakan Pas yang bersuara dalam isu luar negara namun membisu berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, laporan RCI berkenaan membongkar kerosakan dan ketidakcekapan pengurusan akaun serta pelaburan institusi berkenaan antara 2014 hingga 2017, termasuk kerugian melibatkan jutaan ringgit.
“Kenapa pihak-pihak tertentu termasuk rakan-rakan dari Pas, dalam bab yang jauh dari kita banyak komentar, tapi yang sangat dekat dengan kita termasuk TH kita tidak mendengar sepatah pun sebenarnya pendirian mereka mengenai isu kerosakan yang telah berlaku seperti terkandung dalam laporan RCI Tabung Haji.
“Saya harap mereka dapat lebihkan masa menelaah dan membahaskan perkara itu kerana mereka telah ‘lari’ dari Dewan Rakyat waktu rakyat mengharapkan pihak pembangkang membahas,” katanya, lapor Bernama.
Terdahulu, Pas menegaskan Malaysia tidak seharusnya kelihatan memihak kepada mana-mana kuasa besar dalam konflik China-Taiwan, sebaliknya memainkan peranan sebagai negara yang mendorong penyelesaian secara aman.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pendirian Malaysia terhadap ‘Dasar Satu China (Dasar One China) tidak menjadi masalah, namun kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai menyokong penggunaan kekuatan ketenteraan dalam menyelesaikan konflik itu boleh meletakkan negara dalam kedudukan diplomatik sukar.
Fahmi bagaimanapun berkata, pendirian Malaysia berhubung isu China dan Taiwan konsisten serta tidak berubah sejak pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
Menurutnya, pendirian dinyatakan Anwar selari dan konsisten dengan dasar luar negara yang dipegang Wisma Putra sejak sekian lama.
“Tak benar (tuduhan Takiyuddin). Saya lihat ada dua perkara… pertama, pendirian Malaysia mengenai isu tersebut adalah sejak dari zaman Abdul Razak dan pendirian kita tidak pernah berubah.
“Perdana Menteri hanya menyatakan apa yang konsisten dengan pendirian Wisma Putra. Jadi tidak ada perubahan ataupun perbezaan dalam hal itu,” katanya.





