SEORANG lelaki melecur pada badan dan kaki selepas tiga rumah setinggan di Jalan Ismail Ghani, Kampung Kasipillay, Sentul terbakar awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum pasukan bomba digerakkan ke lokasi.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Kuala Lumpur, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, operasi disertai anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dengan bantuan BBP Hang Tuah dan BBP Gombak Selatan.
“Operasi membabitkan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Water Tanker dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan keseluruhan 28 anggota pelbagai pangkat.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati kebakaran membabitkan tiga rumah setinggan separuh kekal iaitu bangunan kelas C dengan keluasan keseluruhan kira-kira 4,872 kaki persegi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, kebakaran menyebabkan keseluruhan struktur terbabit musnah 100 peratus.
Katanya, seorang lelaki berusia 26 tahun turut mengalami kecederaan melecur pada bahagian badan dan kaki dalam kejadian itu.
“Mangsa dihantar menaiki EMRS BBP Sentul sebelum diserahkan kepada pihak Hospital Kuala Lumpur di Zon Merah untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya oleh pasukan bomba.
Bagaimanapun, katanya, punca kejadian masih dalam siasatan Unit Forensik JBPM.





