Suri rumah rugi RM317,000 ditipu sindiket rawatan tradisional

SEORANG suri rumah warga emas kerugian kira-kira RM317,000 selepas dipercayai diperdaya sindiket penipuan menggunakan modus operandi rawatan tradisional dan upacara membuang nasib malang di Pasar Sibu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, wanita tempatan berusia lingkungan 70-an itu membuat laporan polis semalam berhubung kejadian yang berlaku pada 19 Julai lalu.

Menurutnya, mangsa pada mulanya didatangi seorang wanita tidak dikenali yang dipercayai warga China berdasarkan loghat percakapannya, sebelum bertanyakan lokasi kedai ubat tradisional Cina kononnya bagi mendapatkan ubat untuk ibu mentuanya.

“Tidak lama kemudian, seorang lagi wanita dengan loghat percakapan sama menghampiri mangsa dan menawarkan untuk membawa mereka ke sebuah kedai yang didakwa milik saudaranya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa menaiki sebuah kenderaan sebelum seorang suspek mendakwa mampu membaca wajah mangsa.

“Suspek memberitahu bahawa anak mangsa akan mengalami kemalangan jalan raya serius pada hari berkenaan.

“Mangsa kemudian ditawarkan satu upacara perlindungan dan diminta menyerahkan wang tunai serta barang kemas bagi tujuan tersebut,” katanya.

Abang Zainal Abidin berkata, mangsa yang bimbang akan keselamatan anaknya mempercayai dakwaan berkenaan sebelum menyerahkan wang tunai dan barang kemas kepada suspek.

Katanya, keseluruhan kerugian yang dialami mangsa dianggarkan RM317,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, Abang Zainal Abidin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali yang menawarkan rawatan tradisional, ritual atau upacara membuang nasib malang dengan meminta wang tunai atau barang kemas.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan atau ugutan yang sengaja menimbulkan ketakutan dan kebimbangan sehingga mendorong mereka menyerahkan wang atau barangan berharga,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here