SEORANG bapa dan anak lelakinya cedera selepas rumah teres dua tingkat yang didiami mereka terbakar dalam kejadian di Taman Seri Istana Hills, Klang, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.23 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan bersama bantuan BBP Klang Utara bergegas dan tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.
“Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah teres 2 tingkat berkeluasan 30×80 kaki persegi terbakar 70 peratus.
“Insiden turut melibatkan dua mangsa iaitu seorang lelaki berusia 57 tahun yang mengalami kecederaan melecur kira-kira 10 peratus di bahagian pergelangan tangan dan kepala serta anak lelakinya berusia 28 tahun yang mengalami sesak nafas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Klang menggunakan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.
Katanya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan dua pancutan air yang diperoleh daripada pili bomba berhampiran.
Operasi yang membabitkan 13 anggota bersama dua jentera FRT dan sebuah EMRS tamat sepenuhnya pada jam 7.50 pagi.






