PM sampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka 30 Ogos

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan  Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan 2026 pada 30 Ogos, sebagai satu daripada usaha untuk  menzahirkan hasrat dan harapan pimpinan tertinggi Kerajaan MADANI, mengenai kepentingan menghayati semangat kemerdekaan dan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Majlis Amanat Perdana anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) itu akan diadakan di Dataran Merdeka, dengan pelbagai pengisian menarik akan berlangsung seawal  5 petang, seperti Konsert Animasi Ambang Merdeka, Persembahan Pesta Lampu Sedunia, Persembahan Kebudayaan Gema Perpaduan Malaysia MADANI, Persembahan Segmen Khas Muzikal Kemerdekaan dan persembahan artis terkemuka tanah air.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata kesejahteraan yang ingin dinikmati, sebagai sebuah negara tidak akan dapat dicapai tanpa perpaduan yang kukuh.

“Dalam sebuah Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian agama, budaya, bahasa dan adat resam, kita perlu terus membudayakan sikap faham, hormat, terima dan meraikan.

“Marilah kita terus menyuburkan semangat saling memahami, menghormati dan menerima kepelbagaian, kerana dalam kebersamaan itulah terletaknya kekuatan Malaysia untuk terus maju, harmoni dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, KPN selaku sekretariat majlis amanat itu turut mengundang orang ramai untuk hadir beramai-ramai ke Dataran Merdeka, bagi bersama-sama menyaksikan dan mendengar amanat yang akan disampaikan Perdana Menteri, selain boleh ditonton secara langsung melalui TV1 dan aplikasi RTMKlik bermula 9.30 malam.

Bertemakan Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 akan diadakan di Dataran Putrajaya dengan jangkaan lebih 80,000 pengunjung hadir menyaksikannya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here