SERAMAI 549 Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (SUKSIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) ditauliahkan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS UiTM Kali Ke-10 Tahun 2026, di Shah Alam hari ini.
Majlis yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM melibatkan pegawai kadet dari 12 kampus UiTM di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
Sejak diperkenalkan pada 2003, program Kor SUKSIS UiTM telah melahirkan 3,865 Inspektor Kor SUKSIS.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kesemua pegawai kadet berkenaan menamatkan latihan selama tiga tahun atau enam semester sepanjang pengajian, merangkumi aspek kawad, disiplin, asas undang-undang serta kepolisan.
“PDRM mungkin boleh memberi sedikit kuota kepada pegawai yang telah ditauliahkan sebagai SUKSIS kerana mereka sudah mempunyai asas sebagai pegawai polis seperti berkawad, memahami budaya polis dan telah diajar asas undang-undang.
“Mengenai peratusan kuota kemasukan, saya akan berbincang terlebih dahulu dengan Jabatan Pengurusan PDRM. Sekiranya kita beri merit, peluang mereka amat cerah,” katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata PDRM turut akan memperincikan cadangan memendekkan tempoh latihan Kadet Inspektor lepasan SUKSIS di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) daripada sembilan kepada enam bulan.
Katanya, cadangan itu mengambil kira asas kepolisan yang telah dimiliki lepasan SUKSIS, khususnya dalam aspek kawad dan undang-undang.
“Biasanya untuk belajar asas sahaja memerlukan masa dua hingga tiga bulan, namun pegawai SUKSIS ini sudah ada asas dari sudut kawad dan undang-undang. Perkara ini akan diperincikan bersama Jabatan Pengurusan dari segi silibus latihan kelak,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata sebarang keputusan berkaitan kuota khas serta tempoh latihan berkenaan masih tertakluk kepada penelitian dan keputusan Jabatan Pengurusan PDRM.Noor Hisam turut menyifatkan penglibatan mahasiswa dalam Kor SUKSIS sebagai pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan, khususnya bagi melahirkan generasi muda yang berdisiplin tinggi serta mempunyai pengetahuan mengenai undang-undang dan kepolisan.
Turut menerima tauliah ialah Nur Anis Soffiya anak kepada Pengarang Utusan Melayu Plus, Suffian Abu Bakar.





