DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan kebebasan mahasiswa perlu diberikan sepenuhnya tanpa sebarang kekangan yang boleh menghalang kegiatan serta suara mereka di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Perdana Menteri berkata, langkah itu penting bagi memastikan universiti kembali berfungsi sebagai medan pemikiran kritis dan pandangan segar dalam mendepani cabaran pendidikan masa kini.
Menurut beliau, pihak pengurusan universiti dan kementerian berkaitan perlu menerima hakikat bahawa kebebasan mahasiswa harus diberikan sepenuhnya bagi memupuk budaya keilmuan yang lebih dinamik.
“Menerima kenyataan bahawa ruang kebebasan mahasiswa harus diberikan sepenuhnya tanpa sebarang kekangan yang menghalang kegiatan mereka. Sama ada kita setuju atau tidak, itu soal lain … kita boleh berbahas dan menuntut anak-anak mahasiswa mempertahankan hujah mereka.
“Tapi mesti menjadikan belia universiti ini sebagai medan untuk pemikiran kritis dan pemikiran segar,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13, Pendidikan Masa Depan Negara dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di Dewan Tunku Canselor di Universiti Malaya, malam ini, lapor Bernama.
Anwar turut bertindak sebagai moderator pada forum berkenaan mengarahkan supaya sebarang tindakan disiplin terhadap mahasiswa yang dikenakan semata-mata kerana menyuarakan kritikan atau pandangan akademik ditarik balik serta-merta.
Beliau berkata, kerajaan berpendirian tegas bahawa ruang kebebasan kepada golongan mahasiswa dan ahli akademik di IPT perlu diberikan sepenuhnya tanpa sebarang kekangan yang menyekat.
“Kalau ada mahasiswa yang diberikan tindakan disiplin semata-mata kerana suara mereka, kritikan mereka, termasuk kritikan kepada Perdana Menteri, saya rasa mulai esok mereka hendaklah dilepaskan sepenuhnya. Kalau kes polis,ya … itu isu lain,” kata beliau.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan kebebasan yang diberikan tidak bermakna mahasiswa boleh bertindak di luar batas undang-undang termasuk merosakkan harta benda awam.
“Anda boleh suarakan pendirian anda, tetapi anda tidak boleh mengganggu ketenteraman atau merosakkan harta awam. Jangan salah faham, bila kita kata kebebasan itu, nak suara, nak beri pandangan atau hantar memo .. itu dialu-alukan,” kata beliau.
Mengulas mengenai desakan dan wacana penambahbaikan AUKU 1971, Perdana Menteri berkata, sebarang pindaan undang-undang tidak boleh digunakan untuk memperkukuh kuasa kerajaan atau menteri.
Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan sedia mengurangkan pemusatan kuasa kementerian bagi memberikan lebih banyak kelonggaran serta autonomi pentadbiran dan akademik kepada pihak universiti.
“Sebarang pindaan ini tidak boleh digunakan untuk memperkukuh kuasa menteri. Yang sedikit akan mengurangkan kuasa kerajaan itu sendiri, kuasa menteri atau kementerian untuk memberikan sedikit kelonggaran kebebasan kepada universiti,” kata beliau.
Forum bertemakan Pendidikan Masa Depan Negara dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) itu menampilkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Presiden Akademi Sains Malaysia, Tengku Datuk Mohd Azzman Shariffadeen selaku panel.





