AUKU perlu dibatal keseluruhannya, akta baharu dibentang tahun ini – PM

KERAJAAN komited memastikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dibatalkan keseluruhannya dan digantikan dengan akta baharu yang lebih memberi ruang kepada pengurusan universiti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

“Semalam dalam mesyuarat Jemaah Menteri saya nak tengok akta itu batal keseluruhannya, kalau ada keperluan Akta Pengurusan Universiti, kuasa Dekan, Senat, Lembaga Pengajian, itu soal lain tapi jangan ganggu dan bagi ruang.

“Apakah saya yakin anak-anak tidak lakukan kesilapan, saya percaya, apakah tidak boleh terkawal, tidak. Saya masih percaya tahun ini juga kita akan bentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta itu dan diluluskan di Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Anak Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa 2026 di Klang hari ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil semalam memaklumkan, undang-undang baharu yang bakal menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 tidak akan mengongkong pelajar mahupun mahasiswa.

Sebaliknya, Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan memberi tumpuan kepada aspek pentadbiran dan pengurusan universiti serta kolej universiti.

Media pada Sabtu lalu melaporkan, Anwar ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU.

Anwar berkata, biarpun beberapa pindaan sudah dibuat sebelum ini, namun ada perkara yang masih belum memuaskan mahasiswa.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here