Pemandu lelaki diserang sawan, langgar 6 kenderaan

SEORANG lelaki dipercayai diserang sawan ketika memandu sebuah BMW 320i, dikatakan  gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas dan melanggar enam kenderaan yang diletakkan di bahu jalan di Jalan Midah 1, Cheras pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, insiden berlaku kira-kira jam 8.30 pagi ketika lelaki berusia 28 tahun itu dalam perjalanan dari rumah menuju ke tempat kerja di Taman Midah 1.

ASISTEN Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa

“Pemandu kenderaan dipercayai mengalami serangan sawan secara tiba-tiba menyebabkan dia hilang kawalan terhadap kenderaan dipandu sebelum terbabas dan melanggar enam kenderaan yang sedang diparkir di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian tiada pemandu atau penumpang dalam enam kenderaan terbabit dan kesemua kenderaan itu merupakan milik empat wanita berusia antara 29 hingga 43 tahun, seorang lelaki berusia 39 tahun serta sebuah kenderaan syarikat.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan kemalangan hanya mengakibatkan kerosakan pada kenderaan yang terbabit. Pemeriksaan awal mendapati pemandu BMW berkenaan mempunyai sejarah penyakit sawan sejak 10 tahun lalu,” katanya.

Mohd Zamzuri berkata, ujian hembusan nafas yang dijalankan terhadap pemandu berkenaan mendapati keputusan negatif dengan bacaan sifar miligram/100 mililiter.

“Kes ini diklasifikasikan di bawah Rule 10 LN 166/59 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here