Tiada pengesahan rasmi rakyat Malaysia terkorban tragedi banjir di Nepal

KEMENTERIAN Luar Negeri meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat tidak sahih berkaitan keadaan rakyat Malaysia di Rasuwa, Nepal, susulan bencana banjir yang berlaku di kawasan berkenaan semalam.

Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam kementerian itu memberitahu, pihaknya mengambil maklum mengenai maklumat tidak sahih yang tersebar di media sosial dan sumber tidak rasmi lain berkaitan kemungkinan berlaku kemalangan jiwa membabitkan warganegara Malaysia dalam bencana itu.

Menurutnya, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang giat mendapatkan pengesahan segera daripada pihak berkuasa Nepal.

“Pada peringkat ini, kementerian belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai sebarang kemalangan jiwa yang membabitkan warganegara Malaysia.

“Kementerian menggesa orang awam untuk tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang tidak sahih dan dengan penuh hormat memohon pengamal media untuk tidak menerbitkan atau menyebarkan laporan sedemikian.

“Maklumat yang tidak sahih boleh mencetuskan kebimbangan dan tekanan yang tidak sepatutnya kepada ahli keluarga yang terbabit,” kata kenyataan itu hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, lebih 50 rakyat Malaysia di Nepal masih gagal dihubungi oleh ahli keluarga susulan tragedi banjir dahsyat di Rasuwa.

Menurut kenyataan berkenaan, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan serta hospital utama di Kathmandu bagi memastikan keselamatan dan keberadaan warganegara Malaysia itu.

Katanya, pegawai konsular di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China turut diaktifkan bagi membantu usaha berkenaan melalui libat urus dengan pihak berkuasa berkaitan di negara penempatan masing-masing.

“Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya sudah beroperasi, jam 12 tengah hari tadi, bagi menyelaras maklumat dan menyediakan saluran komunikasi langsung untuk warganegara Malaysia di kawasan terjejas dan ahli keluarga mereka.

“Ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan, termasuk nama penuh, nombor pasport, jadual perjalanan, lokasi terakhir diketahui dan nombor telefon yang boleh dihubungi, boleh menghubungi Bilik Operasi Kementerian Luar Negeri di +603 88874570 atau emel dutyofficer@kln.gov.my

“Mereka juga boleh menyalurkan butiran berkaitan secara terus kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menerusi emel mwkathmandu@kln.gov.my dengan menyalinkan kepada Bilik Operasi Kementerian,” katanya.

Kementerian turut menasihati warganegara Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan di Nepal, terutama di kawasan terjejas atau berhampiran, supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

“Kementerian akan terus memantau perkembangan situasi ini dan menyalurkan maklumat terkini sebaik sahaja maklumat sahih diperoleh,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here