Agong gesa Wisma Putra salur perkembangan banjir di Nepal kepada keluarga rakyat Malaysia terlibat

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menggesa Wisma Putra mengambil segala tindakan sewajarnya termasuk menyalurkan maklumat terkini kepada ahli keluarga mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir besar di Rasuwa, Nepal.

Seri Paduka Baginda bertitah, baginda mengikuti perkembangan tragedi berkenaan sejak dilaporkan berlaku semalam yang turut membabitkan rakyat Malaysia.

“Saya mengikuti perkembangan tragedi ini sejak ia dilaporkan berlaku semalam apabila melibatkan rakyat Malaysia.

“Saya juga menggesa Wisma Putra mengambil segala tindakan yang sewajarnya termasuk dalam menyalurkan maklumat terkini kepada ahli keluarga masing-masing mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia yang terlibat,” titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan rasa prihatin serta mendoakan keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian banjir besar berkenaan.

Seri Paduka Baginda berdua turut menitipkan doa agar semua mangsa berada dalam keadaan selamat serta dipermudahkan segala urusan sepanjang menghadapi situasi berkenaan.

Sultan Ibrahim turut mendoakan supaya segala usaha menyelamat dan membawa keluar rakyat Malaysia yang terjejas dapat dilaksanakan dengan lancar.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan seramai 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi susulan banjir besar yang melanda daerah Rasuwa.

Menurut Wisma Putra, angka berkenaan berdasarkan maklumat terbaharu daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber lain yang berkaitan.

Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal dan pasukan mencari dan menyelamat bagi mendapatkan kepastian mengenai keselamatan serta keberadaan rakyat Malaysia yang terlibat.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here