Tiga sindiket dadah tumpas, tujuh ditahan, dadah RM3.2 juta dirampas

POLIS Pulau Pinang menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah selepas menahan tujuh individu termasuk pasangan suami isteri serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.2 juta dalam beberapa siri serbuan antara 15 hingga 22 Ogos lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri bersama pasukan narkotik daerah Timur Laut, Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT).

Menurutnya, operasi itu hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan selama beberapa bulan.

“Berdasarkan siasatan, sindiket di daerah Timur Laut didalangi pasangan suami isteri berusia 26 dan 25 tahun yang dipercayai mendapatkan ganja dan putik ganja dari negara jiran sebelum mengedarkannya di Pulau Pinang.

“Mereka dipercayai terbabit dalam kegiatan itu sejak Mei lalu,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini, lapor BH.

Dalam operasi di daerah Timur Laut pada 15 dan 16 Ogos lalu, polis menahan empat suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 35 tahun.

Hasil serbuan itu, polis merampas 38.3 kilogram serbuk ganja, 11.5 kilogram putik ganja, 14 kilogram methamphetamine, lima kilogram ketamin, 16 kilogram pil ekstasi dan 4,000 pil Erimin-5.

Sementara itu, di SPU, dua lelaki masing-masing berusia 23 dan 46 tahun ditahan dalam serbuan berasingan di Butterworth pada 15 dan 19 Ogos lalu.

Polis merampas 3.25 kilogram dan 1.3 kilogram serbuk MDMA daripada kedua-dua suspek.

Lim berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek memperoleh MDMA yang dibungkus dalam pelbagai paket minuman segera daripada satu rangkaian pengedaran dadah sebelum menjualnya kepada pelanggan di Pulau Pinang, khususnya di pusat hiburan.

“Mereka dipercayai terbabit dalam kegiatan itu sejak tiga bulan lalu dan menjual serbuk MDMA pada harga bermula RM100.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket yang terbabit dalam memproses dan mengedar MDMA berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, polis di daerah SPT menahan seorang lelaki penganggur berusia 28 tahun dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Bukit Mertajam pada 22 Ogos lalu.

Serbuan itu membawa kepada rampasan 8.5 kilogram serbuk MDMA, 1,755 pil ekstasi, 100 pil Erimin-5, 0.63 kilogram ketamin dan sembilan kartrij methamphetamine cecair.

Lim berkata, suspek kini direman sehingga 29 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, saringan air kencing mendapati empat daripada tujuh suspek positif morfin, amphetamine dan methamphetamine, manakala pemeriksaan polis mendapati lima suspek mempunyai rekod jenayah dan kesalahan berkaitan dadah.

Polis turut menyita kenderaan dan motosikal dengan nilai keseluruhan RM89,000 dalam operasi berkenaan.

Bagaimanapun, Lim menegaskan ketiga-tiga kumpulan berkenaan adalah sindiket berasingan dan tidak mempunyai sebarang kaitan antara satu sama lain.

“Ketiga-tiga kumpulan ini berbeza. Mereka adalah kumpulan berasingan yang beroperasi di kawasan berlainan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan terhadap semua kes masih dijalankan termasuk usaha mengenal pasti anggota lain yang terbabit serta mengesan sumber dan rangkaian pengedaran dadah berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here