SUARA AWANG SELAMAT
Awang seronok dengar ucapan Abdul Hadi Awang di Parlimen semalam khususnya dalam bab calon PM dan bagaimana Pas pilih calon. Awang tak tahu la, apa tafsiran orang lain, tetapi Awang yang berpuluh tahun ikut ucapan Abdul Hadi dapat rasa banyak mesej tersirat dalam ucapan beliau.
Abdul Hadi kata, Pas tak nak umum awal nama calon PM ‘atas faktor keselamatan’, takut individu itu kena sogok atau ‘dianiaya sampai tak boleh pilihan raya’.
Bagi Awang ‘faktor keselamatan’ itu bukan sahaja dari luar tetapi dari dalam parti pun ada. Mungkin calon PM itu tak dipilih jadi calon atau lebih teruk lagi digantung atau dipecat daripada parti. Bila jadi macam tu habis lah peluang dia nak jadi PM.
Satu lagi, individu yang mahu menjadi calon PM tu tak semestinya Presiden parti. Contohnya macam Abdul Hadi awal-awal cakap tak nak jadi calon PM. Yang penting calon itu seperti mana kata Abdul Hadi…’’menang pilihan raya, bermoral, berintegriti’.
Kalaulah ada mana-mana calon itu ‘tak lepas’ tiga syarat ni, janganlah dok mimpi nak dapat sokongan Pas untuk jadi calon PM kecualilah parti individu terlibat tidak lagi bersama Pas. Sebab Awang percaya Pas tak akan kompromi bab ‘moral dan integriti’ walaupun calon itu menang pilihan raya.
Lagipun macam Abdul Hadi kata semalam, dalam Pas calon akan dinilai segala-galanya, ilmunya, akhlaknya, perangainya. Malah Abdul Hadi cakap terus terang kalau ada masalah moral akan dipecat daripada parti, walaupun akibat tindakan itu, Pas kurang kerusi, maksudnya kerusi DUN mahupun Parlimen.
Jadi Awang nak nasihat la mana-mana pemimpin yang berminat nak jadi calon PM, muhasabahlah dengan jujur layakkah kita berada dalam kedudukan itu.Kalau rasa tak layak, jangan dok beria-ia sangat nak jadi calon PM. Menang pilihan raya satu hal tapi bab moral dan integriti pun sangat penting.
Janganlah bila bab orang lain, kita desak itu, desak ini…bila kena kat kita mula berhujah kena pegang prinsip ”tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah”.
Maknanya calon PM dari PN tak kisahlah dari Bersatu ke, Pas mesti penuhi syarat itu. Tak apalah buat masa ni Bersatu dah calonkan Muhyiddin Yassin, mahu tak mahu, semua pihak kena hormati keputusan Bersatu.
Keputusan itu di peringkat dalaman parti Bersatu. Kalau Bersatu nak calonkan mana-mana ketua bahagian pun boleh…tak ada masalah. Sebab pencalonan tersebut kena dibawa kepada Majlis Presiden PN untuk dibincangkan.
Calon pula tak semestinya seorang sahaja daripada Bersatu, mungkin Bersatu boleh beri dua atau tiga nama yang memenuhi syarat Abdul Hadi cakap itu. Pas pun boleh hantar nama sebab kata akhir di tangan Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun bagilah menang pilihan raya dulu. Tak payahlah dok buang masa bercakap pasal siapa PM… Kena tunjukkan bukti kepada rakyat seperti mana janji Abdul Hadi bahawa PN akan membawa perubahan kepada kepimpinan negara.
Ini dalaman parti pun dok bergaduh, akar umbi pun tak kukuh, sokongan rakyatpun rapuh…dok buang masa cakap pasal calon PM. Jadi dengarlah pesanan Tok Guru Abdul Hadi…’’tentukan menang pilihan raya (dulu) ..(Tak kan) tak menang pilihan raya nak jadi perdana menteri.’’
Awang : cakap terus terang
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4496″]



