SUARA AWANG SELAMAT
HARI ini kita mengingati kembali suara keramat yang bergema 68 tahun lalu. Suara yang menandakan berakhirnya cengkaman sang penjajah ke atas bumi yang suatu ketika bernama Tanah Melayu ini.
‘Merdeka, Merdeka, Merdeka’ itulah suara keramat tersebut yang dilaungkan pada tanggal 31 Ogos 1957 oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Pada tarikh ini juga Awang dan kawan-kawan memilih untuk menyusun perjuangan dengan menumpang semangat nasionalisme yang bersemarak sempena merdeka melalui portal berita Utusan Melayu+.
Benar, namanya sama seperti nama akhbar keramat Utusan Melayu yang lahir pada 29 Mei 1939. Sememangnya portal ini tidak mungkin sama dan tidak berhasrat menyaingi akhbar tersebut yang suatu ketika menjadi ‘suara keramat bangsa’.
Lirik lagu ‘Suara Keramat’ iaitu ‘Utusan nyalakan semangat merdeka, tiupkan api cinta manusia’ akan menjadi sandaran kepada portal ini untuk bersuara memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam tetapi sama sekali tidak akan menjentik kaum lain.
Selepas 68 tahun merdeka, suasana sudah berbeza. Jika dulu suara memperjuangkan Melayu lantang kedengaran namun kini ia agak reda kerana yang bersuara itu akan dilabelkan mahu mencetuskan sentimen perkauman dan mencuit ‘3R’.
Bagaimanapun ia tidak bermaksud perjuangan untuk Melayu dipinggirkan sebaliknya ia tetap dirangkul bersama di samping membela kaum-kaum lain.
Awang dan kawan-kawan belajar daripada sejarah dan mencontohi sang politikus mencaturkan kuasa politik mereka, kalau ingin ‘terus bernafas’ di tanah air.
Kira-kira 86 tahun lalu, naskhah pertama Utusan Melayu menyiarkan iklan di muka hadapan dengan tajuk `nasihat yang baik mahal harganya’. Begitulah keadaan sekarang apabila perjuangan biarpun di atas landasan Perlembagaan akan dicurigai sehingga yang memperjuangkannya perlu ‘membayar harga yang mahal’.
Justeru ada pihak yang mengambil jalan selamat dengan mengikut rentak arus semasa biarpun dilihat mengorbankan prinsip perjuangan sendiri. Malah ada yang menganggap bercakap soal Melayu atau membangkitkan semangat kaum itu tidak akan memberi keuntungan dari segi komersial. Jika itu jalan yang dipilih silakan sahaja, Awang menghormatinya.
Awang – pena kembali ‘menari’


