PERGERAKAN Pengakap mempunyai peranan penting dalam membentuk generasi muda berdisiplin, bersemangat untuk berkhidmat serta mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Ketika menegaskan perkara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pergerakan itu bukan sekadar berkaitan pemakaian uniform atau aktiviti luar, sebaliknya menjadi wadah membina sahsiah dan mempersiapkan golongan muda menghadapi masa depan.
“Hikmah bersama dengan pengakap ini … ia letak satu asas mencungkil bakat membina semangat, perpaduan dan memahami sejarah, latar belakang serta warisan, tetapi ada kekuatan untuk bangkit membina masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Jambori Pengakap Malaysia ke-15 (MYJAM15) di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan hari ini.

MYJAM15 yang berlangsung hari ini hingga 4 September menghimpunkan lebih 5,450 pengakap tempatan dan antarabangsa dari 11 negara termasuk Korea Selatan, Indonesia, Singapura dan Sri Lanka.
Anwar yang juga Presiden Agung Persekutuan Pengakap Malaysia berkata penyertaan peserta dari pelbagai negara memberikan peluang untuk mereka mengenali budaya, bertukar pengalaman serta membina persefahaman.
“Ahli pengakap di sini, sila pastikan anda memahami masyarakat dan gunakan peluang, (pengakap) dari dalam dan luar Malaysia, untuk menggunakan ruang ini belajar antara satu sama lain, menghormati dan melihat mesej perpaduan dalam kepelbagaian dan mesej keamanan dan persaudaraan dalam kalangan negara di dunia,” kata beliau.
Mengimbau penglibatannya dalam pergerakan Pengakap ketika di bangku sekolah, Anwar berkata pengalaman itu antara yang membantu membentuk disiplin, semangat dan daya juang dalam dirinya serta memupuk kesedaran tentang tanggungjawab kepada masyarakat dan negara.





