PENGUNJUNG yang akan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya Isnin ini dinasihatkan memakai pelitup muka N95 bagi melindungi diri daripada kesan jerebu.
Menteri Komunikasi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata langkah itu selaras nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), khususnya terhadap individu berisiko susulan masalah jerebu yang melanda negara.
Beliau berkata penganjur HKHM 2026 juga mengambil pendekatan menyediakan pelitup muka N95 kepada lebih 10,000 peserta Hari Kebangsaan 2026 bagi memastikan kesihatan mereka pada tahap yang baik.
“Sekiranya mereka (peserta) merasakan mereka perlu memakai (pelitup muka), mereka boleh pakai. Kita tidak paksa, tetapi terpulang pada individu.
“Jadi, kita sarankan kepada ibu bapa yang membawa anak-anak kecil ataupun mereka yang mempunyai asma boleh bawa pelitup muka, terutamanya N95,” katanya pada sidang media selepas raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.
Selain itu, Fahmi berkata pasukan perubatan di bawah KKM turut ditempatkan di lokasi strategik bagi memastikan keperluan perubatan dapat diberikan segera kepada pihak yang memerlukan.
“Kita ada lokasi-lokasi dengan doktor-doktor di bawah KKM ditempatkan untuk mengendalikan apa-apa kes kecemasan. Setakat ini, saya dimaklumkan bahawa semua pangkalan perubatan beroperasi dengan baik, tidak ada apa-apa masalah,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata raptai penuh sambutan berjalan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan penganjur.
Beliau berkata sebanyak 823 pengamal media akan bertugas pada sambutan Hari Kebangsaan 2026, sekali gus mencatat peningkatan berbanding kira-kira 600 petugas pada tahun lepas.
“Ini satu peningkatan yang menggalakkan dan membanggakan … saya percaya tahun ini dari segi akses Internet tidak ada apa-apa masalah dan akan memudahkan rakan-rakan media membuat liputan,” katanya.
Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mengurus Network Monitoring Centre melibatkan syarikat telekomunikasi telah memasang peralatan komunikasi tambahan di 102 lokasi penganjuran Hari Kebangsaan bagi memastikan kelancaran liputan.
Berhubung aspek keselamatan semasa acara sambutan, Fahmi berkata setakat ini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak ada memaklumkan sebarang insiden yang perlu diberi perhatian.
“Jadi, aspek kawalan ketenteraman awam terjaga dan tidak ada apa-apa isu pada waktu ini,” katanya.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan Hari Kebangsaan ke-69 akan diadakan di Dataran Putrajaya dengan jangkaan lebih 80,000 pengunjung hadir menyaksikannya.





