‘Amat hebat..Alhamdulillah’ – PM puji sambutan Hari Kebangsaan

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji dan menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat dan rakyat yang hadir pada sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.

“Great, great show! Alhamdulillah, good. Thank you very much (Persembahan yang hebat, amat hebat! Alhamdulillah, bagus. Terima kasih),” kata beliau ringkas ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan acara perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Putrajaya hari ini.

Selesai acara penuh berwarna-warni dan semangat patriotik itu, Anwar turut meluangkan masa menyantuni rakyat yang hadir dengan semangat luar biasa memeriahkan sambutan itu dengan berjalan kaki lebih 500 meter di sekitar kawasan Dataran Putrajaya.

Beliau bersalaman dan beramah mesra dengan orang ramai, selain melayani permintaan mereka untuk bergambar, dalam suasana meriah yang menghimpunkan ribuan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Seorang daripada kumpulan orang ramai itu, turut berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengembalikan kelayakan asas Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan semasa Amanat Perdana Hari Kebangsaan, semalam.

“Terima kasih Datuk Seri naikkan BUDI95,” kata lelaki itu.

Semalam, Anwar ketika menyampaikan Amanat Perdana mengumumkan enam ikhtiar utama kerajaan untuk kesejahteraan rakyat, termasuk mengembalikan kelayakan asas BUDI95 kepada 300 liter sebulan, yang akan memanfaatkan lebih 16 juta pengguna RON95 bersubsidi.

Selain itu, Anwar berkata lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak turut akan menerima BUDI Diesel hingga 400 liter sebulan, yang berkuat kuasa 1 Sept ini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here