10,819 peserta meriahkan sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya

SAMBUTAN  Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini, berlangsung penuh semangat patriotik dan kecintaan terhadap negara.

Jawatankuasa Media dan Publisiti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, Jabatan Penerangan Malaysia berkata, acara perbarisan dan perarakan melibatkan 76 kontinjen, 22 kumpulan pancaragam dan 11 kereta berhias.

Ia melibatkan penyertaan 10,819 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi pendidikan dan masyarakat sivil.

Bertemakan Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, sambutan tahun ini menzahirkan komitmen berterusan kerajaan membina negara maju, harmoni dan sejahtera untuk semua.

Buat julung kalinya, sambutan turut disertai Askar Timbalan Setia Negeri Johor, kontinjen Sukan SEA 2027 dan kontinjen Kluster Kelestarian Ekonomi Jingga.

Sambutan turut dimeriahkan persembahan pergendangan ‘Gema Inovasi MADANI’ membabitkan 150 peserta pergendangan dan 1,500 peserta grafik manusia, selain persembahan pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Persembahan penutupan ‘Rentak MADANI, Paluan Tradisi’ pula, menghimpunkan 2,350 peserta daripada pelbagai kumpulan kesenian, agensi kerajaan, institusi pendidikan serta badan seni dan budaya.

Penyanyi terkenal tanah air, Faizal Tahir, turut membuat persembahan dengan menyanyikan lagu tema rasmi HKHM 2026, Aku Berjanji.

Sambutan turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, selain kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi, barisan Menteri Kabinet serta Duta dan Konsul Asing di Malaysia.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here