TRAGEDI meragut empat nyawa di Kilometer (KM) 110.3, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Temerloh malam tadi dipercayai berpunca akibat lori tangki muatan simen hilang kawalan.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kejadian kira-kira pukul 10.55 malam itu melibatkan lori tangki berkenaan, sebuah bas ekspres dan sembilan kereta yang dalam perjalanan menuju ke arah timur.
“Akibat perlanggaran itu, pemandu kereta jenis Honda CRV iaitu lelaki Cina berumur 18 tahun mengalami cedera parah manakala penumpang iaitu bapanya, Seow Beng Wain, 55 meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu kereta jenis Proton S70 iaitu Muhammad Nazatul Nazmi, 32 serta dua orang penumpang iaitu isterinya Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32 dan anak lelakinya berusia 4 tahun turut meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemandu lori tangki simen tersebut turut mengalami cedera parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HosHAS), Temerloh.
Azry Akmar berkata, pemandu dan penumpang lapan buah kenderaan lain yang terlibat iaitu sebuah bas ekspress, sebuah Toyota Hilux, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Alphard dan lima kereta lain tidak mengalami kecederaan yang serius.
Kesemua mangsa telah dibawa ke HosHAS, Temerloh bagi rawatan dan post mortem akan dijalankan pagi ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.





