Keputusan siasatan AS  lebihan kapasiti diketahui dalam tiga minggu – Johari Ghani

KEPUTUSAN  Amerika Syarikat (AS) berhubung siasatan mengenai lebihan kapasiti terhadap 16 negara termasuk Malaysia dijangka diketahui dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya dalam perbualan telefon bersama Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, minggu lalu.

“Pada minggu lalu, saya mengadakan perbualan telefon dengan Jamieson Greer dan beliau memaklumkan bahawa keputusan berkaitan lebihan kapasiti ini akan diumumkan kepada 16 negara, termasuk Malaysia, dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang,” katanya lapor TV3.

Beliau berkata, AS sedang memuktamadkan siasatan berkenaan lebihan kapasiti sebagai sebahagian daripada siasatan di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan AS 1974.

Siasatan di bawah seksyen itu meliputi empat bidang, iaitu lebihan kapasiti, buruh paksa, alam sekitar dan subsidi kerajaan.

Namun, Malaysia hanya terbabit dalam dua perkara iaitu kapasiti dan buruh paksa.

“Walaupun berdepan halangan dari segi perundangan dan dasar terhadap beberapa langkah terdahulunya, AS telah menjelaskan hasratnya untuk terus menangani perkara yang dianggapnya sebagai ketidakseimbangan dalam sistem perdagangan global, dan bersedia menggunakan setiap langkah yang tersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Persidangan Bersama Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (MAJECA) dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (JAMECA) Ke-43 di Kuala Lumpur, hari ini.

Johari berkata, AS sebelum ini telah menyelesaikan siasatan Seksyen 301 berhubung import yang dikaitkan dengan buruh paksa.

Susulan siasatan berkenaan, AS mengenakan tarif 10 peratus terhadap import dari 17 ekonomi termasuk Malaysia, manakala kadar tarif 12.5 peratus dikenakan terhadap ekonomi lain yang terjejas.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here