SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam membanteras rasuah rentas sempadan menerusi penyertaan dalam Mesyuarat Plenari Ke-7 Global Operational Network of Anti-Corruption Law Enforcement Authorities (GlobE Network) yang berlangsung dari 25 hingga 28 Ogos lalu di Vienna International Centre (VIC), Vienna, Austria.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, platform ini memberi ruang untuk mengadakan perbincangan dua hala dan pelbagai hala, berkongsi pengetahuan dan perkembangan semasa serta membincangkan isu kerjasama rentas sempadan.
“Kerjasama langsung dan pertukaran maklumat secara tidak formal dan pantas antara pihak berkuasa anggota amat penting bagi menyokong siasatan, khususnya apabila sesuatu kes melibatkan transaksi kewangan, aset atau pihak yang berada di luar negara,” katanya.
Penyertaan kali ini merupakan Mesyuarat Plenari GlobE Network keempat yang dihadiri SPRM sejak menyertai rangkaian tersebut pada Mei 2023, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan SPRM untuk memanfaatkan jaringan kerjasama antarabangsa dalam menyokong siasatan rasuah rentas sempadan, pengesanan aliran kewangan haram dan pemulihan aset.
Antara agenda utama Mesyuarat Plenari Ke-7 ialah perkembangan terkini GlobE Network dan Laporan Aktiviti 2025, pengenalan GlobE Network Experts Circle dan GlobE Compass, pelancaran edisi kedua Compendium of Practices on Informal Cooperation in Transnational Corruption Cases, serta perbincangan berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi dalam siasatan rasuah.
Mesyuarat turut membincangkan usaha memperkukuh prestasi, kelestarian kewangan dan hala tuju strategik rangkaian.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 20 pihak berkuasa anggota GlobE Network menandatangani Model Agreement for the Exchange of Information Between Members of the Global Operational Network of Anti-Corruption Law Enforcement Authorities, termasuk pihak berkuasa dari Arab Saudi, Chile, Ukraine, Romania dan Afrika Selatan.
Perjanjian tersebut merupakan satu langkah penting ke arah memperkukuh mekanisme pertukaran maklumat secara langsung dan selamat antara anggota rangkaian.
Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Dato’ Saiful Ezral Arifin turut berkongsi pengalaman Malaysia dalam mengendalikan kes-kes rasuah rentas sempadan, termasuk kes yang melibatkan bidang kuasa luar pesisir (offshore jurisdictions) menerusi sesi panel “Following the Money: Fake Invoices and Offshore Trails” pada 26 Ogos.
Beliau antara lain menyentuh cabaran perundangan dan pembuktian apabila maklumat serta keterangan perlu diperoleh dari luar negara dan memenuhi keperluan undang-undang yang mempunyai bidang kuasa berbeza.
Dalam pada itu, Abd Halim Aman mengetuai beberapa pertemuan dua hala bersama pihak berkuasa anggota dari Mauritius, United Kingdom, China, Mongolia, Syria, Ukraine dan Kuwait bagi membincangkan perkembangan kes yang sedang dikendalikan serta meneroka bidang kerjasama berpotensi.
Beliau turut mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di Vienna bagi memperkukuh hubungan antara SPRM dengan perwakilan Malaysia di Austria.
Penyertaan SPRM dalam Mesyuarat Plenari Ke-7 GlobE Network itu memperkukuh peranan Malaysia dalam jaringan penguatkuasaan antirasuah antarabangsa, khususnya dalam menyokong penyiasatan rentas sempadan, pengesanan aset dan usaha membanteras aliran kewangan haram.





