SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM tidak menolak kemungkinan seorang orang kenamaan (VVIP) akan menjadi individu pertama didakwa di mahkamah susulan siasatan terhadap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, individu itu akan didakwa selepas siasatan terbaharu SPRM dalam isu pajakan hartanah dalam pelaburan Al Rawda di Arab Saudi selesai.
“Ya, saya tidak menolak kemungkinan seorang VVIP akan didakwa dalam kes berkenaan… namun kita akan umumkan nanti,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini, lapor BH.
Menurut Abd Halim, siasatan terhadap pelaburan Al Rawda menjadi agenda siasatan terbaharu yang berjaya diselesaikan SPRM setakat ini.
Beliau berkata, dua lagi kertas siasatan yang dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam tempoh terdekat ini adalah berkaitan kes TH Marine, TH Alam dan TH Alam Management dengan nilai pelaburan berjumlah RM334.2 juta.
“Kes kedua yang selesai adalah berkaitan dakwaan rasuah dalam pemilikan saham sebanyak 30 peratus oleh Lembaga TH dalam Syarikat Pembinaan Putrajaya Perdana Berhad,” katanya.
Hari ini, seorang bekas menteri ditahan reman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh SPRM terhadap pelaburan TH di Makkah dan Madinah.
Individu terbabit yang berusia lingkungan 60-an dibawa ke mahkamah pagi ini bagi mendepatkan perintah reman berhubung siasatan RCI berkaitan TH.





