SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap dapatan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) dengan menghantar sepasukan pegawai penyiasat ke ibu pejabat syarikat itu pagi ini bagi mendapatkan dokumen berkaitan.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, seramai lapan pegawai ditugaskan untuk mengenal pasti dokumentasi yang berkaitan, selain mengesan individu yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, SPRM turut menubuhkan satu pasukan petugas khas (task force) bagi meneliti semua isu utama dan sampingan yang dibangkitkan dalam laporan RCI susulan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Untuk makluman semua, pihak kami telah bergerak masuk ke bangunan Tabung Haji pagi ini.
“Pasukan penyiasatan telah mula melakukan penyiasatan pagi ini, seramai lapan orang bagi mengenal pasti dokumentasi yang berkaitan dengan perkara yang dinyatakan dalam RCI,” katanya dalam sidang media khas di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Jemaah Menteri sebelum ini bersetuju mengelaskan semula serta mendedahkan laporan RCI itu kepada umum, selain memutuskan siasatan lanjut oleh badan penguat kuasa diteruskan berdasarkan dapatan laporan berkenaan.
Laporan itu menggariskan 25 syor penambahbaikan, dengan pengurusan tertinggi TH berjaya melaksanakan 75 peratus daripadanya, manakala agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025 yang diumumkan baru-baru ini membuktikan institusi itu kini berada dalam keadaan lebih baik.
Tambah Abd Halim, senarai individu yang akan dipanggil bagi membantu siasatan sedang dikenal pasti sebelum proses merakam percakapan dimulakan mengikut keutamaan.
“Kita akan saring, kita akan teliti senarai itu dan kita akan klasifikasikan sebelum mula memanggil mereka untuk dirakamkan kenyataan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, skop siasatan SPRM tidak dihadkan kepada mana-mana tempoh tertentu, sebaliknya tertumpu kepada semua penemuan dan syor yang dikemukakan dalam laporan RCI.
“Siasatan kami tidak dihadkan kepada tempoh-tempoh tertentu. Penyiasatan akan berdasarkan penemuan dan cadangan yang diutarakan oleh RCI.
“Apa yang dinyatakan, ditemukan atau dicadangkan oleh RCI akan menjadi ruang lingkup siasatan kami berdasarkan Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA),” katanya.
Jelasnya, siasatan akan memberi tumpuan bagi menentukan sama ada wujud unsur rasuah, salah guna kuasa atau kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM.
Menurutnya, semua dokumen yang mempunyai kaitan dengan laporan RCI akan diperoleh dan diteliti bagi membantu proses mengenal pasti fakta serta membuat rumusan siasatan.
“Apa sahaja dokumen yang dirasakan berkaitan dengan perkara yang disiasat akan diambil dan diteliti bagi membuat penemuan atau rumusan,” katanya.






