Fahmi nafi pendedahan laporan RCI Tabung Haji strategi kempen PH

DAKWAAN bahawa kerajaan menggunakan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai strategi kempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan adalah tidak berasal.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pendedahan itu melalui proses yang betul dengan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri dan mendapatkan keputusan sebulat suara sebelum dipersetujui untuk didedahkan.

“Sebenarnya RCI ini bermula dengan satu soalan berbangkit dalam Dewan Negara dan selepas Kabinet meluluskan dokumen itu, ia diklasifikasikan semula dan boleh didedahkan.

“Taklimat Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Rashid Hussain yang juga salah seorang ahli Suruhanjaya Diraja Siasatan itu, meminta Perdana Menteri supaya menangguh dahulu (pendedahan) pada 2023.

“Ini kerana kita mahu membina keyakinan dalam kalangan pendeposit dengan melaksanakan syor-syor yang dicadangkan dalam laporan terbabit,” katanya yang juga Menteri Komunikasi.

Fahmi berkata demikian ketika ditemui pada Program Kempen Internet Selamat X Sentuhan Sahabat MADANI di Jeram Padang di Felda Palong 2, Jempol petang tadi.

Beliau dalam pada itu memberitahu, kerajaan bukan hanya mahu mendedahkan kepada umum dapatan itu tetapi juga membahaskannya di Dewan Rakyat.

Katanya, pendedahan laporan itu juga dibuat supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan bukan sahaja dari 2014 hingga 2020 tetapi juga di tempoh berkenaan.

“Sebanyak 75 peratus syor dalam dapatan itu sudah dilaksanakan oleh kerajaan.

“Namun, ada beberapa syor termasuk tindakan perundangan dan badan-badan penguatkuasa perlu disusuli.

“Itu yang Perdana Menteri sebut Polis Diraja Malaysia (PDRM), AAMLA (Akta Pencegahan dan Pengubahan Wang Haram), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mula mengambil tindakan,” katanya.

Mengulas mengenai isu ‘sakau’, tiada penggunaan perkataan berkenaan dalam dapatan itu kerana ia adalah dokumen laporan RCI.

“Ada pihak yang menyatakan dalam dokumen ini tidak menggunakan perkataan ‘sakau’.

“Ini adalah dokumen laporan RCI, jadi ia tidak akan menggunakan perkataan seperti itu yang merupakan bahasa harian.

“Jadi ia menggunakan perkataan seperti rasuah yang memang ada disebut. Pada masa sama, laporan polis dan laporan SPRM sudah dibuat.

“Terpulang kepada pihak berkuasa untuk meneliti dan mengambil tindakan sekiranya ada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan,” jelasnya.

Fahmi menambah, manipulasi perakaunan juga disebut dalam laporan itu termasuk pada 2017 apabila Tabung Haji rugi RM1.4 bilion tetapi diubah suai menjadi seolah-olah untung RM3.4 bilion.

“Itu adalah satu ‘creative accounting’ atau kata lain penipuan angka yang sebenarnya sangat tidak baik dan dapatan siasatan menunjukkan ia bukan hanya berlaku pada 2017 tetapi sejak 2014 lagi.

“Tabung Haji adalah sebuah institusi bagi Melayu Islam yang sangat penting. Saya sendiri seorang pendeposit selain ibu bapa serta ahli keluarga saya yang lain.

“Sudah pasti ramai pendeposit mahu Tabung Haji berada dalam kedudukan yang lebih baik. Jadi kita nak keadilan serta penjelasan teliti laporan penuh itu,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan pemimpin politik dan parti pembangkang mempersoalkan tindakan kerajaan mendedahkan laporan RCI berkaitan TH ketika musim PRN.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img