SETIAUSAHA Akhbar kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Fadzmel Fadzil perlu menyemak semula fakta berhubung kenyataan Kementerian Kewangan (MoF) mengenai peruntukan kepada kementerian berkenaan.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, beliau yakin kenyataan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican tidak dibuat secara sembarangan.
“Saya yakin kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan tidak dibuat secara semborono.
“Saya kenal Tan Sri Ketua Setiausaha Perbendaharaan sebagai penjawat awam kanan yang teliti dan cekap. Dalam urusan kewangan negara, sudah tentu beliau lebih arif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan Tunku Nashrul itu dibuat susulan perbezaan pandangan antara MoF dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung isu peruntukan serta RM300 juta bagi menampung keperluan pembayaran kementerian berkenaan.
Sebelum ini, Fadzmel dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa dakwaan KKDW berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan tidak menggambarkan keadaan sebenar.
Menurutnya, setiap perbelanjaan kementerian tertakluk kepada tata cara kewangan kerajaan dan sistem Integrated Government Financial Management and Accounting System (iGFMAS).
Beliau turut menjelaskan bahawa komitmen kontrak bagi projek tertentu telah wujud sejak sebelum dan ketika pandemik Covid-19, menyebabkan sebahagian tuntutan pembayaran dibawa ke tahun-tahun berikutnya.
Fadzmel juga berkata, RM300 juta yang disalurkan kepada KKDW bukan peruntukan tambahan baharu, sebaliknya peruntukan yang sewajarnya disalurkan bagi menampung komitmen dan tunggakan pembayaran daripada tahun-tahun sebelumnya.
Beliau berkata, peruntukan berkenaan diberikan melalui Surat Kuasa Berbelanja (SKB) yang dikeluarkan pada 1 September 2026.




