SEORANG lelaki ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam ikan di hadapan sebuah sekolah di Kampung Batu 3, Jalan Jeniang di Gurun malam tadi.
Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba (PgKB) II Mohd Naim Matt Jaaffar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.46 petang semalam.
Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zayati Muda tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Hasil maklumat diterima daripada pekerja di lokasi kejadian mendakwa mangsa terjatuh di dalam kolam ikan berkenaan dan dipercayai lemas.
“Susulan itu anggota bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah di permukaan air sebelum menemukan mayat mangsa pada jam 9.16 malam tadi,” katanya, lapor Harian Metro.
Mohd Naim berkata, anggota bomba kemudian membawa mayat mangsa ke tebing kolam sebelum diserahkan kepada polis.
Katanya, tiada dokumen pengenalan diri ditemukan pada mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an itu.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Operasi tamat pada jam 11.19 malam dan turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Sungai Petani, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Padang Lembu, polis dan KKM,” kata beliau.





