KEMENTERIAN Kewangan (MoF) hari ini memaklumkan pihaknya tidak mengenakan sebarang sekatan ke atas peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi projek jalan luar bandar.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, semua peruntukan kepada KKDW sudah disalurkan sepenuhnya dan kekangan proses pembayaran kontraktor disebabkan dana itu sudah dibelanjakan sepenuhnya.
Beliau malah berkata, MoF sudah meluluskan peruntukan tambahan RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.
”Kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berbangkit disebabkan peruntukan tahun semasa telah dibelanjakan hampir sepenuhnya.
”Sejak beberapa tahun lalu, KKDW telah membuat komitmen dan berbelanja lebih daripada peruntukan tahunan yang diluluskan untuk projek-projek jalan luar bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selain peruntukan tambahan, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan KKDW bagi mencari penyelesaian isu ini termasuk mengatur semula peruntukan kementerian itu berdasarkan keutamaan.
Katanya lagi, MoF juga dalam proses mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain yang boleh dilaksanakan bagi membantu menampung keterlebihan komitmen oleh KKDW.
Media sebelum ini melaporkan, isu kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan di bawah KKDW sehingga menjejaskan kelangsungan operasi serta mengundang rasa tidak puas hati kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, masih ada sebilangan kontraktor yang sudah melaksanakan kerja di bawah KKDW dan mencapai kemajuan ditetapkan mengikut kontrak pembangunan, termasuk projek Jalan Luar Bandar (JALB), berdepan kelewatan bayaran daripada kerajaan.
Tegasnya, keadaan itu memberi kesan lebih besar apabila kontraktor berdepan masalah aliran tunai, termasuk ada yang terpaksa menutup operasi, selain disaman pembekal bahan dan subkontraktor.




